My Add

Wednesday 21 August 2013

Pelepasan perbelanjaan pendidikan

 *MUHYIDDIN Yassin dan Noorainee Abdul Rahman (dua, kiri) bersama Rohani Abdul Karim (dua, kanan) dan Azizah Mohd. Dun (kanan) pada Sidang Kemuncak Wanita 2013 di Sime Darby Convention Centre, Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Kerajaan akan meneliti cadangan untuk memberikan pelepasan cukai kepada ibu bapa yang memperuntukkan perbelanjaan dalam bidang pendidikan termasuk penghantaran anak-anak ke sekolah swasta dan tuisyen.

Perkara itu dinyatakan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika memberi maklum balas dalam sesi dialog terhadap persoalan yang dibangkitkan peserta Sidang Kemuncak Wanita 2013 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Sime Darby, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan memberitahu, cadangan tersebut akan dimaklumkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang sedang mengumpul pelbagai saranan dan idea untuk polisi-polisi baharu dalam Bajet 2014 yang bakal dibentangkan Oktober ini.

''Menghantar anak-anak ke sekolah swasta atau pusat-pusat tuisyen memerlukan perbelanjaan yang besar. Untuk memberikan pelepasan cukai kepada ibu bapa yang memperuntukkan perbelanjaan dalam pendidikan termasuk menghantar anak-anak ke sekolah swasta dan tuisyen, kita akan pertimbangkan.

''Cadangan ini akan saya serahkan kepada Perdana Menteri untuk Bajet 2014 ini,'' katanya.

Penganjuran sidang itu antara lain sebagai mesej bahawa wanita kini bersedia menentukan hala tuju misi yang hendak dicapai.

Sidang kemuncak anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu juga sebagai platform mengumpul pelbagai idea untuk penggubalan dasar, perundangan dan program bagi melonjak peranan wanita dalam pembangunan negara.

Muhyiddin berkata, jika cadangan pelepasan cukai itu merupakan satu keperluan, kerajaan akan memberikan perhatian.

Kepada soalan berhubung diskriminasi bayaran gaji antara pekerja wanita dan lelaki, beliau menegaskan perkara itu tidak berlaku di sektor awam.

''Di sektor swasta, saya tidak tahu tetapi sudah tentu berdasarkan pengalaman dan prestasi. Tetapi kalau berlaku pembayaran gaji yang tidak seimbang antara pekerja wanita dan lelaki, perkara ini boleh diadukan kepada pihak berwajib supaya tidak berlaku diskriminasi,'' ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut diaju soalan berhubung wanita yang memberikan inspirasi untuknya berjaya dalam hidup.

Menjawab soalan itu, beliau berkata: ''Selain isteri (Puan Sri Noorainee Abdul Rahman), sudah tentu ibu saya adalah insan yang banyak memberikan inspirasi. Ibu saya hanya memasuki sekolah dewasa dan tiada peluang menghadiri sekolah formal. Keazamannya membuatkan saya menjadi insan yang berjaya.'' - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment