My Add

Monday 19 August 2013

Pengusaha katering nyaris terkena peluru sesat

 *PASUKAN unit forensik melakukan siasatan mengenai peluru sesat yang mengenai pintu di salah sebuah kediaman di Taman Daiman Jaya, Kota Tinggi, Johor, semalam. - BERNAMA
KOTA TINGGI, AHAD, 18 Ogos, 2013: Seorang pengusaha katering nyaris terkena sebutir peluru sesat yang dilepaskan individu tidak dikenali ketika lelaki itu, isteri dan anaknya berusia lapan tahun berada di bahagian belakang luar rumah mereka di Jalan Berlian 4, Taman Daiman Jaya di sini pagi ini.

Menurut pemilik rumah yang hanya mahu dikenali sebagai Jamuri, 43, kesemua mereka berada di luar rumah lot tepi itu kira-kira pukul 11.30 pagi sebelum dikejutkan dengan bunyi satu letupan.

"Sejurus itu kami terdengar pula bunyi kuat pada jeriji pintu belakang rumah lalu memeriksa dan menemukan objek tembaga di bawahnya. Saya yang mengesyaki objek itu sebutir peluru bergegas membuat laporan polis," katanya ketika ditemui di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Supritendan Mohd. Nor Rasid berkata, siasatan awal polis percaya individu yang melepaskan tembakan itu bukan menyasarkan keluarga tersebut.

Katanya, pihaknya juga menerima maklumat daripada penduduk terdapat sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran beredar dalam keadaan tergesa-gesa semasa kejadian itu berlaku.

"Siasatan mendapati individu itu menggunakan pistol jenis 9 milimeter. Polis akan meningkatkan rondaan dan meminta orang ramai yang ada maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi di talian 07-8831222 bagi membantu siasatan," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment