My Add

Monday 19 August 2013

Rumah pengurus keselamatan dibaling bom petrol

KLANG, AHAD, 18 Ogos, 2013: Seorang pengurus syarikat keselamatan, K. Muthiah, 54, membuat laporan polis setelah rumahnya di Jalan Aman Perdana 4C/KU5, Taman Aman Perdana di sini dibaling bom petrol awal pagi ini.

Kejadian kira-kira pukul 2.20 pagi yang dipercayai dilakukan dua lelaki bermotosikal itu menyebabkan halaman rumah dan bahagian belakang kereta jenis Mazda milik isterinya rosak akibat terbakar.

Muthiah ketika ditemui berkata, dia menyedari kejadian itu sebaik sahaja keluar memeriksa di halaman rumah kerana curiga dengan bunyi salakan anjing.

"Saya terkejut melihat simen halaman rumah dan belakang kereta isteri saya terbakar. Saya juga nampak ada serpihan botol kaca pecah di situ," katanya di sini hari ini.

Menurut Muthiah, dua pengawal keselamatan yang bertugas di kawasan perumahannya memberitahu, mereka ada melihat dua lelaki bermotosikal berhenti di hadapan rumahnya dan membaling sesuatu.

"Bagaimanapun mereka tidak sempat mencatat nombor pendaftaran motosikal yang dinaiki dua lelaki itu," katanya yang bersyukur kerana semua anggota keluarganya tidak mengalami kecederaan.

Tambah Muthiah, dia membuat laporan berhubung kejadian di balai polis berdekatan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Klang Utara, Supritendan Jani Ahmad ketika dihubungi mengesahkan telah menerima laporan kejadian.

Ujar beliau, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment