My Add

Tuesday 20 August 2013

PM mahu lebih ramai bakat baharu ditonjolkan

PUTRAJAYA, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, lebih ramai bakat baharu dalam UMNO harus diberi peluang mengisi jawatan penting dalam pemilihan parti Oktober ini.

Beliau berkata, kombinasi bakat baharu di samping penyertaan muka-muka lama penting bagi memperkukuh dan memastikan parti itu terus kekal relevan.

''Saya hargai pendirian mereka kalau nak tawar diri. Saya hargai sebab nak menyumbang kepada parti, kita perlukan yang berpengalaman di samping bakat-bakat baharu dalam UMNO.

''Kalau kita sekat bakat baharu ini daripada muncul, kita akan hadapi kesukaran hendak pilih calon berwibawa apabila tiba masanya nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Najib yang juga Presiden UMNO mengulas tentang beberapa nama besar dalam UMNO yang mengumumkan untuk tidak bertanding dalam pemilihan parti.

Antaranya, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz; bekas Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Tan Sri Dr. Rais Yatim dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, beliau tidak pernah menghalang atau menyarankan mana-mana ahli parti untuk bertanding merebut jawatan kerana mereka bebas bertanding berdasarkan perlembagaan baharu UMNO.

''UMNO ialah sebuah parti yang demokratik dan setiap pendapat ahli perlu diambil kira iaitu mahukan kestabilan dan kepimpinan yang berterusan, pada masa sama penyertaan muka baharu di semua peringkat," katanya.

Sementara itu beliau berkata, belum ada pengumuman rasmi dibuat tentang ura-ura pelantikan Ketua Wanita UMNO, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sebagai penasihat khas Perdana Menteri dalam isu wanita seperti dilaporkan sebuah akhbar berbahasa Inggeris hari ini. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment