My Add

Sunday 25 August 2013

Polis bantuan maut, kereta hempap dua kenderaan lain

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Seorang anggota polis bantuan Bank Negara Malaysia (BNM) maut setelah kereta dipandunya hilang kawalan dan melambung menghempap dua kenderaan lain di Jalan Loke Yew berhampiran pusat beli-belah Viva Homes di sini awal pagi ini.

Dalam kemalangan pukul 2 pagi itu, tiga penumpang yang menaiki tiga kenderaan terlibat dalam insiden itu turut mengalami kecederaan.

Siasatan mendapati kereta Perodua Kancil dipandu anggota polis bantuan, Nor Fitri Wahab, 23, yang datang dari arah Kajang menghala ke pusat bandar raya tiba-tiba hilang kawalan sebelum terbabas memasuki laluan bertentangan.

Perodua Kancil itu kemudian melambung dan menghempap bahagian hadapan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Unser dipandu seorang wanita yang datang dari arah pusat bandar raya.

Selepas itu, Perodua Kancil tersebut terus melambung dan menghempap pula bahagian hadapan sebuah kereta Proton Wira Aeroback dinaiki lima sekeluarga yang mengekori Toyota Unser.

Pegawai Turus Siasatan dan Perundangan Trafik Kuala Lumpur, Deputi Supritendan Abdullah Roning berkata, Nor Fitri yang tersepit di tempat duduk mati di tempat kejadian akibat cedera parah.

“Seorang rakan lelaki yang menumpang kereta Nor Fitri cedera parah iaitu patah kedua-dua paha. Pemandu Toyota Unser turut mengalami cedera parah di muka," katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurut Abdullah, turut mengalami kecederaan ialah seorang wanita yang menaiki kereta Proton Wira Aeroback tetapi tidak parah.

Katanya, ketiga-tiga mangsa yang cedera dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) untuk mendapatkan rawatan.

Tambahnya, mayat mangsa pula dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat dan punca sebenar kejadian masih disiasat. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment