My Add

Wednesday 21 August 2013

Polis berkas 2 lelaki, selesai 5 kes curi kenderaan

JOHOR BAHRU, RABU, 21 Ogos, 2013: Polis percaya dapat menyelesaikan lima kes curi kenderaan di Seri Alam di sini, susulan penangkapan dua lelaki dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Sinaran Baru, Kempas, di sini Sabtu lepas.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kedua-dua mereka yang berumur 25 dan 26 tahun itu diberkas pada pukul 12.15 tengah hari susulan maklumat awam.

"Polis kemudian merampas empat kereta jenis Toyota Hilux, sebuah kereta Proton Perdana dan sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai hasil curi, daripada mereka," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, semakan mendapati seorang daripada suspek dikehendaki polis bersabit kes curi kenderaan di negeri ini.

Kedua-dua mereka, katanya, kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan.

Dalam kes lain, Mohd. Mokhtar berkata, polis menumpaskan satu kumpulan samun selepas menahan dua lelaki di sekitar bandar raya ini, Rabu lepas.

Beliau berkata, kedua-dua mereka ditahan pada pukul 6.24 petang selepas polis menerima satu maklumat samun yang dipercayai dilakukan suspek di Jalan Rosmerah, Seri Alam, dua hari sebelum itu.

"Polis kemudian merampas sejumlah barangan termasuk sepucuk pistol jenis 'blowback', satu kelopak peluru kosong, satu parang panjang, lapan sarung tangan, tiga topeng penutup mulut, satu walkie-talkie, empat telefon bimbit dan dua dompet," katanya.

Katanya, kedua-dua mereka yang berumur 23 dan 28 tahun itu kini ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. -BERNAMA 

No comments:

Post a Comment