My Add

Monday 26 August 2013

Polis jamin Seberang Perai Selatan masih selamat

GEORGE TOWN, ISNIN, 26 Ogos, 2013; Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata, polis memberi jaminan bahawa daerah Seberang Perai Selatan (SPS) dan kawasan sekitarnya masih selamat walaupun berlaku tembakan rambang dua hari lepas dan penemuan bom serta 20 butir peluru semalam.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak mempercayai sebarang khabar angin yang disebar melalui khidmat SMS mendakwa kononnya akan berlaku kekecohan.

"Pihak polis telah memperhebatkan rondaan dan operasi mencegah jenayah di sekitar daerah itu bagi menjamin keselamatan awam...orang ramai juga tidak perlu bimbang dan panik.

"Ketika ini, polis giat menjalankan siasatan kes tembak serta penyebaran khabar angin itu," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Dewan Sri Pinang, di sini hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahim menerima pingat Darjah Yang Mulia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk pada Majlis Penganugerahan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Kehormat negeri sempena Hari Ulang Tahun Ke-75 Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas.

Abdul Rahim berkata demikian ketika diminta mengulas kes enam lelaki yang cedera apabila dua lelaki bermotosikal melepaskan tembakan rambang di Taman Kasawari, Simpang Ampat 24 Ogos lepas dan penemuan bom serta 20 butir peluru hidup berikutan penahanan enam orang di Machang Bubuk, awal pagi semalam.

Sementara itu, beliau berkata, sejak Ops Cantas dilancarkan pada 17 Ogos lepas, seramai 2,490 orang telah diperiksa dan 36 orang ditahan atas pelbagai kesalahan di negeri ini.

"Saya harap rakyat negeri ini terus memberi kerjasama kepada polis dalam membanteras jenayah," katanya. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment