My Add

Monday 26 August 2013

Presiden Afrika Selatan diberi sambutan rasmi

*NAJIB Razak bersalaman dengan Jacob Gedleyihlekisa Zuma selepas upacara sambutan rasmi di Dataran Perdana Putra, di Putrajaya hari ini. Presiden Zuma mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke Malaysia. - BERNAMA
PUTRAJAYA, ISNIN, 26 Ogos, 2013: Presiden Afrika Selatan, Jacob Gedleyihlekisa Zuma yang mengadakan lawatan rasmi tiga hari ke negara ini diberi sambutan rasmi di Dataran Perdana, di sini hari ini.

Ketibaan beliau di Bangunan Perdana Putra pada 10 pagi, disambut Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Turut hadir Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa, menteri-menteri kabinet, duta-duta serta pegawai kanan kerajaan.

Sejurus ketibaan beliau, lagu kebangsaan kedua-dua negara dimainkan.

Presiden Afrika Selatan itu kemudian memeriksa kawalan kehormatan yang terdiri daripada 105 anggota dan pegawai dari Batalion 1 Rejimen Askar Melayu Diraja.

Selepas majlis sambutan rasmi itu, kedua-dua pemimpin mengadakan pertemuan empat mata dan diikuti mesyuarat dua hala.

Lawatan Zuma untuk kali keempat ke negara ini dilihat bakal mempererat hubungan dua hala yang sedia terjalin antara Malaysia dan Afrika Selatan dan secara jelas mencerminkan hubungan dua hala yang baik antara kedua-dua negara.

Zuma, yang tiba semalam, dijadual menyampaikan ucaptama pada Forum Perniagaan Malaysia-Afrika Selatan.

Beliau juga akan menerima anugerah Ijazah Doktor Kehormat Kepimpinan Kemanusiaan daripada Universiti Limkokwing serta Anugerah ’Lifetime Campaigner for Global Peace Award’ bagi pihak bekas Presiden Nelson Mandela daripada Yayasan Keamanan Global Mahathir.

Sementara itu, isterinya, Nompumelelo Ntuli-Zuma dijadual mengadakan kunjungan hormat ke atas isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan melawat Permata Pintar. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment