My Add

Monday 26 August 2013

Nahas bas: SPAD tubuh Jawatankuasa Panel Inkuiri

JOHOR BAHARU,  ISNIN, 26 Ogos, 2013: Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) akan menubuhkan Jawatankuasa Panel Inkuiri secepat mungkin bagi mengumpul semua maklumat berhubung insiden kemalangan maut di Genting Highlands yang meragut 37 nyawa minggu lepas.

Pengerusinya Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, pada ketika ini pihaknya sedang menunggu laporan siasatan insiden itu daripada pelbagai agensi yang bertanggungjawab.

"Perkara utama kita adalah menunggu semua laporan dan kita akan tubuhkan Jawatankuasa Panel Inkuiri yang akan mengumpulkan daripada pihak bertanggungjawab melakukan siasatan.

"Kita hendak tubuhkan (Jawatankuasa Panel Inkuiri) secepat mungkin, supaya kita dapat menyediakan syarat rujukan untuk (anggota) panel," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat skim Teksi 1Malaysia di sini, hari ini.

Dalam kemalangan itu, 16 penumpang turut cedera parah apabila bas ekspres itu terjunam sejauh 60 meter ke dalam gaung di KM3.5 Genting Highlands. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment