My Add

Monday 26 August 2013

Projek kereta api laju penting

 *PROJEK kereta api laju antara Kuala Lumpur dan Singapura akan memberi banyak kelebihan kepada Iskandar Malaysia dalam usahanya menarik pelabur. - gambar hiasan
JOHOR BAHRU, AHAD, 25 Ogos, 2013: Komponen sistem pengangkutan moden dan bersepadu di Iskandar Malaysia, penting dan perlu disiapkan mengikut jadual untuk menarik lebih ramai orang tinggal dan bekerja di kawasan koridor ekonomi itu.

Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (Rehda) Negeri Johor berkata, pembinaan sistem kereta api laju Malaysia-Singapura (HSR) dan Rapid Transit System (RTS) Johor Bahru penting untuk kemajuan Iskandar Malaysia.

"Ia (projek-projek pengangkutan HSR dan RTS) adalah projek pemangkin berimpak tinggi yang penting untuk membawa Iskandar Malaysia ke tahap yang lebih tinggi.

"Tahap perhubungan dalam kawasan koridor itu akan menjadi jauh lebih baik, memudahkan mereka yang tinggal di Singapura, Iskandar Malaysia dan kawasan lain tinggal dan bekerja di kawasan koridor itu," katanya baru-baru ini.

Menurut laporan media sebelum ini, sistem RTS Johor Bahru itu juga akan dihubungkan dengan sistem MRT (Mass Rapid Transit) di Singapura untuk kemudahan penduduk kedua-dua negara.

Iskandar Malaysia tidak boleh pergi jauh, jika koridor ekonomi itu hanya mengharapkan penduduk asalnya, sebaliknya ia turut memerlukan penghijrahan serta sumber seperti pekerja dan lain-lain dari luar.

"Untuk itu, Iskandar Malaysia memerlukan sistem pengangkutan moden dengan tahap penyambungan menyeluruh. Sebab itulah kedua-dua sistem itu perlu disiapkan mengikut jadual," kata kenyataan itu lagi.

Rehda Johor berkata, antara sektor yang bakal menerima limpahan paling besar dalam sistem pengangkutan moden dan tahap penyambungan yang tinggi adalah hartanah.

Rehda yakin terhadap impak besar yang bakal ditawarkan kepada Iskandar Malaysia apabila kedua-dua projek pengangkutan bernilai berbilion ringgit itu siap, seperti selesai beberapa projek pemangkin yang lain.

Katanya, projek-projek pemangkin yang dilaksanakan di Iskandar Malaysia sebelum ini seperti Legoland, Educity, Puteri Harbour dan pelbagai projek infrastruktur, berjaya melonjakkan Iskandar Malaysia.

"Kita dapat lihat bagaimana pelabur berpotensi menunggu sehingga siapnya projek-projek pemangkin ini sebelum mereka benar-benar melabur dalam pelbagai projek di Iskandar Malaysia," katanya.

Rehda berkeyakinan impak yang sama akan berlaku selepas kedua-dua projek HSR Malaysia-Singapura dan RTS Johor Baharu itu siap sepenuhnya.

"Pelabur kini melihat dengan penuh minat pelaksanaan kedua-dua projek pengangkutan ini, dan Iskandar Malaysia akan melonjak ke tahap yang lebih tinggi apabila siap projek kereta api laju dan RTS Johor Bahru ini," katanya.

Mengikut pengumuman sebelum ini, pembinaan RTS di Johor Bahru itu akan dilaksanakan oleh syarikat Malaysian Steel Works (Masteel) menerusi anak syarikatnya, Metropolitan Commuter Network (MCN).

Sementara itu, kajian pelaksanaan pembinaan HSR kini di peringkat akhir dengan projek yang dianggarkan bernilai AS$10 bilion itu, dijangka siap sepenuhnya menjelang 2020.

Projek yang akan mengurangkan tempoh perjalanan antara kedua-dua ibu negara kepada hanya 90 minit itu, sudah pun menarik minat syarikat antarabangsa termasuk Perancis, China, Jepun dan Sepanyol. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment