My Add

Monday 26 August 2013

Pengangkutan awam perlu penambahbaikan

 *KERJA-KERJA pembinaan stesen MRT giat dijalankan bagi mencapai sasaran tarikh siap sepenuhnya pada tahun 2017. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Masih banyak ruang penambahbaikan yang boleh dipertingkatkan untuk pengangkutan awam di ibu kota bagi merealisasikan perkhidmatan dari 'pintu ke pintu'.

Profesor Pengangkutan, Pusat Pengajian Kejuruteraan Awam, Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr. Ahmad Farhan Mohd Sadullah berkata, perkhidmatan bas awam terutamanya perlu penambahbaikan bagi melancarkan lagi sistem pengangkutan awam negara.

Namun begitu, beliau tidak menafikan pengangkutan awam di Kuala Lumpur dan Lembah Klang sudah setanding dengan bandar-bandar besar di Asia Tenggara.

Beliau juga menyangkal dakwaan bahawa kesesakan lalu lintas disebabkan oleh tahap pengangkutan awam yang rendah di Malaysia.

"Kenyataan itu tidak tepat. Kesesakan lalu lintas berpunca daripada peningkatan jumlah perjalanan menggunakan kenderaan peribadi. Ini menyebabkan pertambahan kenderaan di jalan raya.

"Peranan pengangkutan awam adalah untuk mengatasi kesesakan ini dengan memindahkan sebilangan besar pengguna kepada sebuah sistem yang lebih efisien yang mampu membawa lebih penumpang bagi setiap kilometer.

"Contohnya, sebuah bas mampu membawa hampir 60 penumpang berbanding dengan pengangkutan rel yang boleh membawa berlipat kali ganda penumpang," katanya kepada Utusan Malaysia baru-baru ini.

Oleh itu, beliau berpendapat, projek My Rapid Transit (MRT) yang dilaksanakan kerajaan ketika ini merupakan penyelesaian terhadap masalah kesesakan di ibu kota.

Menurutnya, MRT boleh membawa bilangan penumpang yang paling tinggi dalam satu-satu masa.

"Ia juga telah direka bentuk untuk melalui kawasan yang paling padat dan antara yang paling sesak.

"MRT berkemungkinan dapat mewujudkan pemindahan pengguna kereta dan motosikal ke MRT dengan harapan akan mengurangkan bilangan kenderaan per kilometer di jalan-jalan raya di Kuala Lumpur," ujarnya.

Jelasnya, walaupun pembangunan ini sedikit lewat dari bandar-bandar lain, beliau percaya sistem pengangkutan awam negara dapat dipertingkatkan melalui dua pemangkin utama iaitu program Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) untuk pengangkutan awam bandar dan penubuhan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment