My Add

Thursday 1 August 2013

Puteri UMNO desak tindakan ke atas pembuat video hina Islam

KOTA KINABALU, KHAMIS, 01 Ogos, 2013: Pergerakan Puteri UMNO Malaysia mengecam tindakan individu yang menghasilkan vide KHAMISo '1 Hari Di Hari Raya' yang kemudiannya dimuat naik ke laman Youtube, dan menyifatkannya sebagai satu penghinaan terhadap umat Islam di negara ini.

Ketuanya, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, lebih menyedihkan lagi pembuat video itu merupakan seorang yang beragama Islam.

Beliau berkata, Puteri UMNO berpendapat individu berkenaan bukan sahaja perlu dikenakan tindakan undang-undang disebabkan penghasilan video dengan niat melakukan provokasi terhadap umat Islam di Malaysia tetapi juga perlu diberi kaunseling oleh Jabatan Agama Islam Malaysia.

"Ini kerana tindakan beliau memperlihatkan beliau mempunyai masalah dengan pegangan akidah sebagai umat Islam atau mungkin kurang pemahaman mengenai hukum.

"Kita mungkin boleh menjatuhi hukuman denda, penjara atau lain-lain hukuman, kita juga mungkin boleh mengecam beliau, memarahi beliau atas apa yang telah beliau lakukan. Tetapi perkara yang lebih penting adalah usaha kita untuk membantu beliau memperbetulkan pegangan akidah agar perkara ini tidak menular ke dalam masyarakat," katanya.

Rosnah yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya berkata, anggota Puteri UMNO tidak mahu individu itu dikenakan tindakan undang-undang semata-mata 'kemudian apabila selesai menjalani hukuman beliau mengulangi perbuatan yang sama'.

Semalam Maznah Yusoff, 38, yang dikenali sebagai Chetz ditahan di cawangan Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Bukit Aman untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 298A Kanun Keseksaan.

Chetz dipercayai memuat naik video Hari Raya bersama tiga ekor anjing di YouTube, tiga tahun lepas.

Rakaman video selama 1 minit 44 saat itu, memaparkan seorang individu membawa tiga ekor anjingnya bersiar-siar dekat pekarangan masjid dengan suara latar takbir raya.

Video itu turut menunjukkan individu itu yang memakai baju hitam mengambil wuduk sebelum menghidangkan kuih raya kepada anjingnya dan menyiarkan kata-kata

"Raikanlah Aidilfitri bersama-sama, tanpa mengira spesies, warna, asal usul (dengan menunjukkan gambar tiga ekor anjing)".

Pergerakan Pemuda UMNO dan Wanita UMNO Nibong Tebal serta Angkatan Belia Masjid Sungai Bakap membuat laporan polis berhubung video yang sama.

Wakil kumpulan berkenaan yang juga Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Nibong Tebal, Mohd. Nor Hiesam Ismail berkata, perbuatan wanita itu jelas menunjukkan tindakan biadab, kurang ajar dan tidak sensitif terhadap umat Islam terutama di bulan Ramadan ini.

Beliau berkata, perbuatan yang dipaparkan dalam video itu jika tidak dibendung akan menyebabkan berlakunya perpecahan di kalangan agama.

"Kami juga bimbang jika isu seperti itu terus diperbesarkan umat Islam akan bangkit memberontak dan ini berbahaya," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Selatan di sini.

Katanya, pihaknya juga berharap kerajaan tidak berkompromi dengan mereka yang jelas mempersendakan agama Islam kerana ia memberi kesan buruk kepada masyarakat.

"Saya harap perbuatan itu ditangani supaya perbalahan tidak berlaku dalam masyarakat terutama oleh orang Islam," katanya. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment