My Add

Saturday 17 August 2013

Rakyat Malaysia di Mesir perlu jaga keselamatan

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013:  Datuk Seri Najib Tun Razak berharap rakyat Malaysia yang berada di Mesir akan sentiasa menjaga keselamatan diri dan tidak terlibat dalam konflik di negara berkenaan.

Perdana Menteri turut melahirkan rasa syukur kerana sehingga ini rakyat Malaysia di negara itu berada dalam keadaan selamat walaupun beratus rakyat Mesir terbunuh dalam pergolakan terbaru di negara berkenaan.

"Saya bersyukur kerana rakyat Malaysia berada dalam keadaan selamat. Sentiasa hubungi pihak kedutaan kita di Kaherah bagi mengikuti perkembangan semasa," katanya melalui laman sosial Facebook beliau hari ini.

Negara itu dilanda konflik berdarah apabila tercetus pentempuran antara pasukan keselamatan dan penyokong bekas presiden Mesir Mohamed Morsi, menyebabkan ratusan yang terkorban dan ribuan lain cedera.

Menerusi mesej tweet pula, Najib berkata, beliau merasmikan Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah petang ini yang akan mempermudahkan urusan khidmat kerajaan bagi rakyat.

Perdana Menteri hari ini berada di Kedah bagi lawatan sehari beliau ke negeri itu.

Mengulas laporan media mengenai sasaran pencapaian Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menjelang 2015, Najib dalam tweet sebelum itu berkata, kerajaan mahu melihat PKS menyumbang 40 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) untuk membuka jalan ke arah mencapai status negara berpendapatan tinggi.

Ketika ini, PKS menyumbang 33 peratus kepada KDNK.

Laporan itu memetik Ketua Setiausaha Kementerian Kewangan, Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah sebagai berkata PKS perlu menyumbang lebih kepada pertumbuhan ekonomi negara bagi mencapai sasaran sebagai negara berpendapatan tinggi. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment