My Add

Saturday 17 August 2013

Faiz tawar bertanding Exco Pemuda UMNO

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA

KUANTAN, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Ketua Penerangan Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota, Muhammad Faiz Hashim menawarkan diri untuk bertanding bagi jawatan Exco Pemuda UMNO dalam pemilihan parti hujung tahun ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) Pahang turut akan bertanding bagi jawatan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Indera Mahkota yang kini disandang Penolong Setiausaha Pemuda UMNO negeri, Datuk Suhaimi Sulong.

Muhammad Faiz berkata, keputusan untuk bertanding bukan mahu menjadi pesaing kepada mana-mana pihak, sebaliknya untuk menyuburkan amalan demokrasi dan menjadi pelengkap serta memperkuatkan lagi jentera Pemuda UMNO.

"Saya akan meneruskan perjuangan memartabatkan agama, bangsa dan negara terutama dalam aspek ekonomi bumiputera, pemilikan rumah mampu milik golongan muda, pendidikan dan kebajikan.

"Nasib orang Melayu terutama anak muda yang menghadapi kesukaran memiliki rumah dan premis perniagaan di bandar akibat sewa dan harga jualan premis yang tinggi adalah agenda perjuangan utama saya selain memperkasakan ekonomi dan peluang pekerjaan kepada anak-anak muda di kampung.

"Perjuangan yang ikhlas ini memerlukan sokongan agar manfaatnya dapat dirasai dengan jayanya dan saya dengan rasa rendah diri merayu sokongan semua pihak agar agenda memperjuangkan agama, bangsa dan negara ini akan terus dimartabatkan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

No comments:

Post a Comment