My Add

Friday 9 August 2013

Ribuan kunjungi rumah terbuka PM dan jemaah menteri di Putrajaya

 * PERDANA Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor melambai ke arah tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Sri Perdana, Putrajaya, hari ini. - Foto Effendy Rashidan hadiri rumah terbuka PM dan jemaah menteri di Putraj
PUTRAJAYA, KHAMIS, 08 Ogos, 2013: Ribuan orang menghadiri majlis rumah terbuka Aidilfitri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Jemaah Menteri di Seri Perdana, kediaman rasmi perdana menteri, di sini, hari ini.

Orang ramai mula beratur seawal 8 pagi di pintu masuk Seri Perdana untuk menghadiri majlis itu yan dijadualkan dari 10.30 pagi hingga 4 petang.

Turut menjadi hos selain Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor ialah Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan isteri Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz.

Pada 12.45 tengah hari, Perdana Menteri menerusi Twitternya memaklumkan lebih 45,000 orang menghadiri majlis rumah terbuka itu.

Antara orang kenamaan yang hadir pada majlis itu ialah bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dan bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Perdana Menteri kelihatan segak dengan Baju Melayu biru manakala Rosmah anggun dengan baju kurung moden warna sedondon.

Sebaik sahaja pintu dibuka, pekarangan Seri Perdana berubah menjadi lautan manusia terdiri pelbagai lapisan masyarakat dan kaum yang tidak mahu melepaskan peluang berjumpa dengan pemimpin tertinggi negara

Tidak ketinggalan ialah para diplomat dan pemimpin kerajaan dan juga pembangkang, pelancong dan pegawai badan bukan kerajaan (NGO).

Pengunjung dijamu dengan pelbagai juadah, kebanyakannya masakan tempatan seperti sate, rendang, lemang, ketupat dan nasi himpit dan sebelum beredar mereka turut menerima beg barangan dengan kanak-kanak menerima duit raya dan belon daripada dua badut.

Teh Seng Peng, 44, guru dari Melaka tidak dapat menyembunyikan rasa gembiranya dapat bertemu Perdana Menteri.

Teh membawa bersama-samanya satu keluarga warga Jepun, dan mereka datang dengan dua kereta.

"Saya amat teruja. Saya mahu berjumpa perdana menteri dan bersalam dengan beliau. Saya rasa amat gembira membuat keputusan mengunjungi rumah terbuka hari ini," katanya.

Rezapour Martin, 27, pelajar Iran di sebuah universiti swasta di sini, tidak pernah ketinggalan menghadiri rumah terbuka Najib sejak empat tahun lalu.

"Setiap tahun, saya akan pastikan hadir rumah terbuka ini. Selepas solat saya akan berjalan kaki ke Seri Perdana dan mengucapkan Selamat Hari Raya kepada perdana menteri sebelum menikmati hidangan," katanya kepada Bernama.

Bagi R Punniamoorthy, 52, dari Seremban, yang basah dengan peluh, kunjungannya ke rumah terbuka itu amat berbaloi.

Beliau melahirkan rasa gembira dan keterujaan datang ke Seri Perdana dengan anggota keluarganya.

"Selepas ini, kami akan melawat sekitar Putrajaya dan Kuala Lumpur untuk melawat mercu tanda ikonik dan tempat-tempat pelancongan," katanya.- BERNAMA

No comments:

Post a Comment