My Add

Saturday 17 August 2013

Solat hajat mohon selamatkan rakyat Mesir

 * SEBAHAGIAN peserta mengangkat sepanduk dan poster ketika menyertai perhimpunan mengecam tindakan pasukan keselamatan Mesir yang membunuh penunjuk perasaan penyokong Mohammed Mursi di hadapan Masjid al-Fattah Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang, Pahang, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Pertumpahan darah yang semakin membimbangkan di Mesir membabitkan pertempuran pasukan tentera dan penyokong Presiden yang digulingkan, Mohammed Mursi, mendorong masjid-masjid di seluruh negara menganjurkan solat hajat meminta supaya diberikan perlindungan dan keselamatan kepada umat Islam di negara itu.

Di Masjid Negara, solat hajat yang dianjurkan selepas solat Jumaat telah disertai oleh ribuan umat Islam yang prihatin dengan nasib saudara seagama mereka di negara bergolak tersebut.

Suasana sama juga disaksikan di Putrajaya apabila lebih 3,000 jemaah menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat di Masjid Putra dan Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Solat hajat yang diadakan itu juga bertujuan mendoakan kemenangan dalam isu permohonan Titular Roman Catholic Archibishop of Kuala Lumpur membatalkan rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan sebuah akhbar mingguan Katholik The Herald menggunakan kalimah Allah pada 22 Ogos ini.

Selain solat hajat, kedua-dua masjid turut membaca Qunut Nazilah ketika solat Jumaat.

Situasi di Mesir semakin serius apabila pasukan tentera dilaporkan mula menggempur penyokong Mohammed Mursi seawal pukul 7 pagi kelmarin.

Semalam, penyokong Ihkwanul Muslimin mendakwa, angka korban mencecah kira-kira 2,200 orang manakala lebih 10,000 yang lain cedera dalam operasi yang dilancarkan oleh pasukan keselamatan Mesir di dua buah kem utama penunjuk perasaan pro-Mursi.

Di KUANTAN, Pahang, lebih 1,000 umat Islam menunaikan solat hajat di Masjid Negeri Sultan Ahmad 1 memohon supaya Allah SWT mengembalikan keamanan di Mesir yang kini meragut banyak nyawa.

Solat diadakan selepas solat Jumaat itu diimamkan oleh Imam 1, Mohd. Khalil Mohd. Zahari yang turut memohon supaya pergolakan di Syria juga dihentikan.

Dalam pada itu, kira-kira 500 peserta menyertai perhimpunan di hadapan Masjid al-Fattah di Batu 3, Jalan Kuantan-Gambang bagi mengecam tindakan pasukan keselamatan Mesir.

Peserta turut melaungkan 'Allahu Akbar' dan membawa beberapa poster termasuk bertulis As-Sisi Firaun Moden Celakalah Ke Atas Kumpulanmu, Save Mesir dan Vote For Mursi.

Sebelum itu, jemaah masjid tersebut turut mengadakan solat hajat untuk meminta keadaan di Mesir kembali aman.

Umat Islam berhimpun kecam tindakan ganas di Mesir

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Lebih 100 umat Islam di negeri ini berhimpun di Majlis Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Shah Alam, Selangor bagi membantah tindakan ganas pasukan keselamatan Mesir terhadap para penyokong bekas Presiden negara itu yang digulingkan, Mohammed Mursi.

Mereka berhimpun sebaik sahaja selesai solat Jumaat kira-kira pukul 2.30 petang ini dan masing-masing melaungkan slogan serta mengangkat sepanduk mengecam tindakan pasukan keselamatan negara itu menggempur para penyokong Mohammed Mursi sehingga menyebabkan 2,200 orang dilaporkan maut manakala 10,000 lagi cedera di Kaherah semalam.

Demonstrasi tersebut disertai beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) antaranya Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor, Muslim Care dan Yayasan Amal Malaysia.

Yang Dipertua ABIM Selangor, Khairuddin Abbas ketika berucap di hadapan para peserta perhimpunan itu menyatakan rasa sedih dan marah terhadap situasi yang berlaku di Mesir ketika ini yang disifatkan tidak boleh diterima sama sekali.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Pemodenan Pertanian dan Pembangunan Desa negeri, Sallehen Mukhyi yang turut menyertai perhimpunan itu mahu seluruh umat Islam dan rakyat di negeri ini dan Malaysia bersama-sama memohon kepada Allah supaya kestabilan dan keselamatan di Mesir dapat dipulihkan.

Sementara itu di MELAKA, lebih 80 orang mengadakan perhimpunan secara aman di pekarangan Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini bagi tujuan sama.

Perhimpunan yang diadakan selepas solat Jumaat itu berlangsung selama setengah disertai oleh beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram).

Mereka melaungkan 'Allahuakbar' sambil menunjukkan poster yang mengutuk kekejaman pasukan keselamatan Mesir.

Ketua Pemuda Ikram, Zairi Suboh mendesak kerajaan supaya menyatakan pendirian Malaysia membantah rampasan kuasa yang berlaku di negara itu.

''Kami NGO di Melaka meminta agar tentera Mesir menghentikan kekejaman mereka yang sehingga kini menyebabkan kematian ribuan rakyat yang tidak berdosa, - UTUSAN

No comments:

Post a Comment