My Add

Friday 16 August 2013

Suri rumah didakwa perdagang, dera pembantu rumah

PETALING JAYA, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan memperdagangkan dan mendatangkan cedera parah ke atas pembantu rumah warga Indonesia, minggu lepas.

Chai Eng Fong, 40, didakwa memperdagangkan wanita berusia 30 tahun itu bagi maksud eksploitasi sebagai buruh paksa dengan cara menggunakan kekerasan dan paksaan.

Dia didakwa mengikut Seksyen 13 Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda, jika sabit kesalahan.

Chai juga didakwa dengan niat mendatangkan cedera parah ke atas mangsa dengan memukul dan menyimbah air panas sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka, kepala, telinga, dua belah payu dara, belakang badan dan paha.

Bagi kesalahan itu dia didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat atau denda, jika sabit kesalahan.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Subang Bistari Shah Alam, dekat sini pada 7 malam, 8 Ogos lepas.

Hakim Rozina Ayob membenarkan tertuduh diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan selain tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah, melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan.

Mahkamah menetapkan 2 Sept ini untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zhafran Rahim Hamzah, manakala tertuduh diwakili peguam TH Goh.

Peguam Rosal Azimin Hamad hadir selaku peguam pemerhati untuk Kedutaan Indonesia. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment