My Add

Friday 23 August 2013

Tanda Putera:, JUMAAT, Shuhaimi gementar tunggu reaksi

KEMAMAN, JUMAAT, 23 Ogos, 2013: Pengarah filem Tanda Putera, Datuk Shuhaimi Baba mengakui agak gementar menunggu reaksi dan sambutan rakyat di negara ini sempena tayangan filem itu di seluruh pawagam pada 29 Ogos ini.

Beliau yang juga penulis skrip dan penerbit filem kontroversi itu berharap, naskhah kenegaraan tersebut dapat diterima seluruh rakyat negara ini dan ia harus dinilai daripada sudut positif dan bukannya seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak sebelum ini.

Katanya, filem yang melibatkan kos kira-kira RM4.7 juta itu tidak dibuat atas desakan mana-mana pihak apatah lagi bertujuan memecah-belahkan perpaduan di antara mana-mana kaum tetapi ia satu tanggungjawabnya sebagai 'orang filem' kepada negara.

"Ya, saya bukan sahaja gementar kerana banyak filem-filem yang kita jangka box office juga tidak mendapat sambutan apatah lagi filem kenegaraan seperti ini namun saya berharap masyarakat dapat ubah persepsi tentang filem ini dengan keluar menonton Tanda Putera kerana ia tidak seperti apa yang digambarkan sebelum ini.

"Tanda Putera satu filem sejarah yang rakyat Malaysia perlu tahu dan lihat kerana ia menceritakan sejarah negara kita ketika itu, bagaimana pemimpin kita bangkit untuk menjaga negara dalam apa situasi sekali pun dan disebabkan itu lah kita dapat nikmati perpaduan pada hari ini, " katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Tayangan Pratonton dan Dialog Filem Tanda Putera bersama seramai 242 orang peserta kursus Diploma Pengurusan Awam (DPA) di Institut Tadbiran Awam Negara (Intan) Wilayah Timur dekat sini semalam.

Shuhaimi turut meminta masyarakat melihat filem ini sebagai filem yang membangkitkan rasa sayang kepada negara dengan mengekalkan keamanan yang ada dan bukannya menjadikan ia sebagai satu filem yang mendorong kepada perkara yang tidak harmoni. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment