My Add

Saturday 17 August 2013

Tangguh hantar pelajar baharu

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Penghantaran pelajar baharu ke Mesir yang sepatutnya bermula bulan depan bagi sesi pengajian 2013/2014 ditangguhkan berikutan situasi meruncing yang sedang berlaku di negara itu.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pelajar yang sedang bercuti di Malaysia juga diminta menangguhkan kepulangan ke Mesir termasuk pelajar-pelajar yang perlu menduduki peperiksaan ulangan.

''Pihak kementerian sedang berunding dengan Kementerian Pengajian Tinggi Mesir agar kemasukan pelajar Malaysia ditangguhkan untuk satu semester.

''Pelajar yang sedang bercuti di Malaysia juga diminta menangguhkan kepulangan ke Mesir termasuk pelajar-pelajar yang perlu menduduki peperiksaan ulangan,'' katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, langkah-langkah telah diambil untuk memastikan keselamatan lebih 3,200 pelajar Malaysia yang berada di negara tersebut terjamin.

Beliau menasihatkan para pelajar agar berada di rumah masing-masing dan tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan.

''Ibu bapa dinasihatkan agar tidak bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka di sana kerana pihak kedutaan sentiasa berhubung dan memantau keadaan keselamatan para pelajar.

''Untuk memastikan penyaluran maklumat yang tepat mengenai kedudukan pengajian pelajar Malaysia di Mesir, ibu bapa dan pelajar dinasihatkan merujuk kepada kementerian dan bukan kepada mana-mana agensi penempatan pelajar atau pihak-pihak lain,'' katanya.

Menurut Muhyiddin yang juga Menteri Pendidikan, sekiranya keadaan di Mesir masih tidak membolehkan pelajar pulang untuk menduduki peperiksaan ulangan, pihak kementerian juga sedang berusaha agar peperiksaan ulangan tersebut dapat diadakan di Malaysia.

''Sekiranya krisis berlanjutan dan suasana tidak menentu sehingga memaksa pemindahan dilaksanakan, pihak kementerian akan berunding agar pengajian semua pelajar Malaysia di Mesir ditangguhkan satu semester.

''Namun begitu, jika keadaan di Mesir tidak pulih dan tidak selamat bagi pelajar Malaysia meneruskan pengajian di negara terbabit, pihak kementerian akan membantu pelajar-pelajar yang terlibat mendapatkan tempat pengajian di negara-negara lain yang selamat dan di institusi pengajian tinggi swasta di negara ini,'' katanya.

Muhyiddin berkata, bagi tujuan penyelarasan berhubung pengajian pelajar, pihak penaja dipohon merujuk kepada Kementerian Pendidikan yang merupakan agensi bertanggungjawab menyelaras pengurusan pelajar di Mesir.

Sebarang pertanyaan untuk mendapatkan maklumat terkini, boleh menghubungi talian 03-88706611 dan 03-88706627 atau e-mel egyptcrisis@mohe.gov.my dan facebook: https://www.facebook.com/pages/StudentWorld/207845832591425.

''Kita berdoa agar keadaan di Mesir segera pulih dan semua pelajar Malaysia yang berkenaan dapat meneruskan pengajian mereka di sana dalam masa yang terdekat,'' katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment