My Add

Thursday 15 August 2013

Tekong bot dijel jika kerajaan tidak campur tangan

 Mohd. Salleh
PONTIAN, RABU, 14 Ogos, 2013: Tekong bot yang ditahan oleh pihak berkuasa Perikanan dan Kelautan Indonesia pada Mei lalu, Mohd. Salleh Rahman akan menjalani hukuman penjara selama tiga tahun tiga bulan seperti yang diputuskan oleh Mahkamah Tanjung Pinang, Indonesia pada 24 Julai lalu jika kerajaan tidak segera campur tangan.

Menurut bapanya, Rahman Yusof, 65, kes tersebut tidak akan dibawa ke Mahkamah Rayuan dan anaknya kini sedang menunggu dihantar ke penjara sama ada di Tanjung Pinang atau Batam untuk menjalani hukuman tersebut.

Katanya, Mohd. Salleh, 29, kini berada di Pusat Tahanan Pihak Berkuasa Perikanan dan Kelautan di Batam selepas dibawa dari Tanjung Pinang bersama nelayan dari negara lain yang melakukan kesalahan menceroboh perairan negara Indonesia.

"Dia akan menjalani hukuman penjara jika tiada pihak membantu membebaskannya dalam tempoh terdekat ini. Kami sekeluarga telah melawatnya pada hari raya kedua di Batam dan dia merayu agar dibantu seperti kes sama melibatkan enam nelayan dari daerah ini tahun lalu.

"Kami sekeluarga belum putus harapan agar kerajaan tampil membantu menyelesaikan kes ini melalui saluran diplomatik agar Mohd. Salleh dapat menyambut kelahiran anak sulung pada bulan Oktober nanti," katanya di sini hari ini.

Mohd. Salleh merupakan satu-satunya yang masih ditahan oleh pihak berkuasa Indonesia manakala lima lagi awak-awak di dalam bot pukat tunda JHF 7195 B telah dibebaskan pada bulan lalu oleh pihak berkuasa di sana.

Tambah Rahman, sambutan Aidilfitri kali ini dirasakan hambar buatnya sekeluarga kerana memikirkan nasib Mohd. Salleh yang menyambut Syawal bersendirian apatah lagi isterinya, Suhaila Ali sedang sarat mengandung enam bulan.

"Saya harap campur tangan kerajaan dapat membebaskan anak ketiga saya yang menjadi harapan keluarga bagi meneruskan kerja-kerja saya selama ini," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment