My Add

Tuesday 20 August 2013

TEKUN tekad lahirkan lebih ramai usahawan kecil wanita

 *SEBAHAGIAN tetamu yang hadir menjamu selera dalam majlis Silaturahim Aidilfitri TEKUN Nasional 2013 di Kuala Lumpur, semalam. - BERNAMA
KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional yakin dapat melahirkan lebih ramai usahawan kecil terutama dari kalangan wanita pada masa akan datang.

Pengerusinya, Datuk Hamidah Osman berkata, keyakinan tersebut berdasarkan sumber kewangan kukuh dimiliki TEKUN Nasional ketika ini yang diharap dapat membantu usahawan kecil terutama dari segi bantuan pinjaman kewangan.

"Setelah dilantik sebagai Pengerusi TEKUN Nasional berkuatkuasa minggu lalu, saya juga beriltizam supaya lebih ramai usahawan kecil dari kalangan wanita dapat dilahirkan.

"Diharapkan dengan kehadiran saya di dalam TEKUN Nasional, peluang dapat dibuka seluas-luasnya kepada golongan wanita bagi turut sama menerima manfaat dan bimbingan," katanya ketika ditemui pemberita dalam majlis Silaturahim Aidilfitri TEKUN Nasional 2013, di sini hari ini.

Majlis turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta beberapa kenamaan lain antaranya Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar.

Sementara itu tambah Hamidah, beliau turut berharap TEKUN Nasional dapat memainkan peranan bukan sekadar memberikan dana pinjaman tetapi juga peluang-peluang lain seperti khidmat nasihat dan latihan.

"Selain memberikan dana pinjaman, saya lihat pelbagai inisiatif lain boleh diwujudkan oleh TEKUN Nasional bagi melahirkan lebih ramai bilangan usahawan kecil.

"Kita boleh merencanakan peluang-peluang perniagaan untuk turut sama diceburi usahawan-usahawan kecil ini selain menitikberatkan juga aspek bantuan latihan dan kepakaran kepada mereka," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment