My Add

Tuesday 20 August 2013

AES dikekalkan - Hishammuddin

KUALA LUMPUR, ISNIN, 19 Ogos, 2013: Mesyuarat Majlis Ekonomi dan kajian maklum balas mengenai Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memutuskan penggunaan sistem itu dikekalkan.

Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, keputusan itu dibuat setelah mengambil kira maklum balas pelbagai pihak termasuk orang ramai.

''Penggunaan AES dikekalkan. Kita tidak akan membuat keputusan drastik selagi pertimbangan dari setiap sudut diambil sama ada di peringkat Kementerian Pengangkutan mahu pun mereka yang terlibat secara langsung.

''Kita mewujudkan sistem ini untuk memastikan keselamatan di jalan raya dan kita hendak meyakinkan orang ramai bahawa apa sahaja keputusan yang dibuat adalah telus supaya tiada pihak menyalah tafsir sehingga niat yang baik ini sukar untuk dilaksanakan.

''Saya berasa lega kerana bukan mudah untuk menyelesaikan isu ini dan saya akan bentangkan kepada pucuk pimpinan dalam masa terdekat mengenainya dengan butiran lebih terperinci," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam majlis Sambutan Aidilfitri Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah di Wisma Felcra di sini.

Sementara itu, Hishammuddin memberitahu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) sedang memantau pergolakan di Mesir bagi menentukan keperluan dan proses pemindahan rakyat Malaysia di negara itu.

Menurut beliau, Setiausaha MKN, Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab kini berada di negara tersebut dan keadaan di sana akan dipantau dari semasa ke semasa sebelum sebarang keputusan dibuat.

Bagaimanapun, beliau memberitahu, kesemua 3,300 pelajar di Mesir telah dipindahkan dari kawasan panas ke lokasi lebih selamat sejak sebelum Ramadan dan dipantau setiap waktu.

''Jadi, keputusan proses pemindahan bergantung kepada MKN sebab mereka berada di lapangan. Sekarang ini bila kita tengok Al-Jazeera, CNN semua nampak teruk, tetapi bila kita pergi ke sana hanya kawasan-kawasan tertentu sahaja panas,'' katanya. -UTUSAN 

No comments:

Post a Comment