My Add

Friday 23 August 2013

Terpaksa merangkak atas mayat

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Pengalaman ngeri merangkak di atas timbunan mayat akan menjadi detik hitam yang tidak akan dilupakan Nurul Quraitul Ainu Md. Jali, salah seorang penumpang bas ulang-alik yang terlibat dalam nahas ngeri meragut 37 nyawa di Genting Highlands dekat sini semalam.

Gadis berusia 19 tahun itu yang kini dirawat di Hospital Selayang dilihat masih trauma ketika ditanya mengenai kejadian tersebut.

"Lebih teruk apabila saya termimpi-mimpi bayangan mangsa-mangsa lain yang terkorban. Perkara ini yang mengganggu hingga menyebabkan saya trauma," katanya ketika ditemui pemberita di hospital itu hari ini.

Nurul Quraitul kemudian dibawa ke bilik pembedahan bagi membuang kuman di tangan kirinya.

Kakaknya, Nor Ain, 21, berkata, ketika kejadian kira-kira pukul 2.24 petang, adiknya bersama seorang lagi rakan yang dikenali sebagai Saedah, 19, dalam perjalanan pulang ke kampung masing-masing setelah kontrak kedua-dua mereka selaku pekerja bankuet di Pusat Konvensyen Antarabangsa Genting tamat.

Menurutnya, adiknya ada memberitahu bahawa bas tersebut dikatakan melebihi muatan dan dipandu dengan laju sewaktu menuruni bukit tersebut.

"Sebelum kejadian, dia terdengar bunyi rempuhan sebelum tubuhnya seperti melambung dan tercampak dalam bas tersebut," katanya.

Nor Ain menambah, dia hanya mengetahui kejadian berkenaan setelah dimaklumkan oleh keluarga Saedah yang menghubungi keluarganya sebaik sahaja berjaya menyelamatkan diri.

Kedua-dua mangsa kini berada dalam keadaan stabil. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment