My Add

Friday 23 August 2013

'Situasi cukup menyayat hati'

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Ogos -2013: Pasukan bomba dan penyelamat yang terawal tiba di lokasi kejadian nahas bas ulang-alik di Genting Highlands semalam memberitahu mereka nampak sebahagian besar penumpang dalam keadaan bertindih antara satu sama lain.

Malah, situasi itu cukup menyayat hati apabila kebanyakan daripada mangsa tidak sedar diri dan ada di antaranya sudah meninggal dunia.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Genting Highlands, M. Mahendran bersama sembilan anggotanya menjadi pasukan penyelamat pertama tiba di lokasi kejadian sejurus mendapat laporan kemalangan itu petang semalam.

Menurutnya, sebaik sahaja dia dan pasukannya turun ke gaung menggunakan tali, penglihatannya hanya tertumpu kepada mangsa yang berada di dalam bas serta mangsa yang terhumban keluar.

"Kami tiba ke lokasi kejadian 10 minit selepas mendapat laporan kemalangan dan apabila memeriksa bas itu, saya dapat lihat kebanyakan mangsa dalam keadaan terbaring dan telah bertindih satu sama lain dengan kerusi juga menghimpit mereka.

"Apabila dipanggil tidak banyak yang menyahut kecuali seorang penumpang wanita yang menjerit meminta tolong akibat tersepit dan bertindih dengan penumpang serta kerusi bas berkenaan.

"Kami juga mencari mereka yang masih memberi maklum balas dengan menepuk badan mereka. Tetapi kebanyakannya sudah tidak sedarkan diri dan gambaran yang dapat diberikan ketika itu adalah cukup menyedihkan apabila melihat keadaan mangsa," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia hari ini.

Mahendran yang baru lapan bulan berkhidmat di Balai Genting Highlands memberitahu, terdapat beberapa kelompok mangsa yang terhumban berada di luar bas berkenaan.

"Mereka yang terhumban saya lihat terselamat dan sedarkan diri. Ada di antara mereka turut menyelamatkan penumpang lain yang terhumban sama dan menunggu untuk diselamatkan," katanya.

Mengulas lanjut, beliau memberitahu, hanya 16 penumpang yang selamat berjaya dikeluarkan dari bas berkenaan.

"Tetapi hanya tiga orang yang mampu mendaki cerun yang curam itu sebelum dibawa oleh kren ke atas, selebihnya dibawa oleh anggota penyelamat kerana mengalami kecederaan serius di seluruh badan," katanya.

Beliau berkata, pihak pasukan penyelamat berdepan dengan pelbagai cabaran sepanjang kerja-kerja menyelamat terutama sekali keadaan muka bumi di lokasi kejadian ditambah dengan cuaca sejuk di situ.

"Saya akui ini bukan kejadian kemalangan paling ngeri yang pernah saya terlibat dalam kerja-kerja menyelamat tetapi setiap insiden tidak sama dan mempunyai cerita yang berbeza.

"Walau bagaimanapun, kejadian ini adalah antara yang menyayat hati apabila melibat ramai mangsa yang terkorban selain keadaan mereka di dalam bas," katanya yang pernah terlibat dalam tragedi Highlands Tower di Hulu Klang pada 1993. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment