My Add

Monday 12 August 2013

Tidak pinggir belia

KUALA LUMPUR, AHAD, 11 Ogos, 2013: Cadangan memperluas penyediaan Projek Perumahan Transit khususnya di ibu kota jelas membuktikan kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak mengabaikan rungutan golongan muda.

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Seputeh, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, penyediaan Projek Perumahan Transit itu juga bertitik tolak daripada cadangan pihaknya supaya perumahan transit diwujudkan bagi pasangan baharu berkahwin dalam Perhimpunan Agung UMNO lalu.

Menurut beliau, penyediaan rumah transit itu sangat membantu dalam meringankan beban pasangan yang baharu berkahwin mendapatkan rumah sewa di bandar.

"Generasi muda bandar sudah semestinya berterima kasih kepada kerajaan BN kerana terus mendengar keluhan mereka dengan mengambil langkah mewujudkan perumahan transit ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Semalam, Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan memaklumkan kerajaan bercadang memperluas penyediaan Projek Perumahan Transit yang kini hanya ditawarkan kepada pasangan muda yang baharu berkahwin kepada golongan bujang.

Ketika membahaskan ucapan Ketua Pemuda dalam persidangan agung UMNO lalu, Mohd. Razlan yang mewakili Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan mencadangkan tiga perkara penting yang perlu dilaksana kerajaan bagi kepentingan anak muda di bandar.

Antara cadangan itu mewujudkan perumahan transit kepada golongan muda yang baharu berkahwin supaya generasi muda mendapat pembelaan daripada kerajaan.

Tambah Mohd. Razlan, pihaknya akan terus memperjuang kepentingan generasi muda di bandar sebagai memikul tanggungjawab sebagai 'suara' Pemuda UMNO di ibu kota.

Beliau juga yakin kepentingan anak muda akan terus diutamakan dalam dasar-dasar kerajaan BN demi kelangsungan pentadbiran negara.

"Sekiranya mengalami masalah dan kekurangan, generasi muda boleh bertemu Pemuda UMNO dan kita akan membawa perkara ini dalam perhimpunan agung UMNO akan datang," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment