My Add

Monday 5 August 2013

Tiga negara bincang naikkan harga getah

MACHANG, AHAD, 04 Ogos, 2013: Kerajaan akan mengadakan perbincangan dengan negara jiran pengeluar getah, Indonesia dan Thailand, bagi mencari mekanisme terbaik untuk menaikkan harga getah di pasaran yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada pekebun kecil komoditi.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan amat prihatin terhadap nasib pekebun kecil getah selepas harganya kini rendah sedikit namun pada masa yang sama berpendapat harga berkenaan masih tinggi berbanding beberapa tahun lepas.

"Di Kelantan, kira-kira 50,000 pekebun kecil getah menerima bantuan RM500 setiap seorang oleh kerajaan yang kini sebanyak RM14 juta telah diagihkan daripada jumlah keseluruhan sebanyak RM23 juta.

"Kita perlu bersyukur dengan keprihatinan kerajaan melalui Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dan walaupun harga getah sedikit susut tetapi ia masih tinggi berbanding dahulu," katanya selepas merasmikan majlis penyampaian dividen Risda dan pelancaran penggunaan bahan rangsangan Negeri Kelantan 2013 di sini, semalam.

Seramai 2,318 penerima dividen itu yang membabitkan jumlah keseluruhan sebanyak RM9.3 juta.

Mustapa berkata, jika rundingan dengan negara jiran itu berhasil sekalipun, kerajaan tidak memberi jaminan kenaikan harga getah akan terus bertahan kerana komoditi itu bergantung kepada permintaan.

Katanya, apa yang berlaku, permintaan terhadap komoditi itu daripada pembeli utama seperti China, Eropah dan Amerika Syarikat kini sangat kurang yang menyebabkan harga getah terjejas.

Harga getah kini dalam jajaran RM3.10 sekilogram hingga RM3.55 sekilogram.

Sementara itu, Mustapa berkata dakwaan pembangkang kononnya harga yang rendah disebabkan kelemahan kerajaan adalah tidak benar sama sekali dan jika pembangkang yang memerintah negara ini, mereka sendiri tidak akan mampu mengawal harganya.

Pada majlis itu juga Risda turut memberikan sumbangan sosialnya kepada 115 pertubuhan bukan kerajaan di seluruh Kelantan dengan jumlah sumbangan sebanyak RM230,000. - BERNAMA 

No comments:

Post a Comment