My Add

Friday 16 August 2013

Tindakan DAP panjangkan isu pemilihan CEC motif politik - KJ

PETALING JAYA, JUMAAT, 16 Ogos, 2013: Keputusan DAP untuk membuat pemilihan semula Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) selepas begitu lama diarahkan berbuat demikian menunjukkan parti itu sengaja mahu mempolitikkan isu itu sebelum ini, kata Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin.

Walaupun ia keputusan yang betul, beliau bagaimanapun mempersoalkan mengapa perkara itu dipanjangkan.

"Malah perkara ini dijadikan isu untuk simpati orang ramai sebelum Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 lagi tetapi akhirnya akur juga," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Pertandingan Dasar Awam Malaysia (MPPC) di sini, hari ini.

Pada 30 Julai lepas, Pendaftar Pertubuhan (ROS) memutuskan DAP perlu mengadakan pemilihan semula CECnya selepas badan itu tidak berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan oleh DAP berhubung dakwaan penyelewengan pengundian dan manipulasi undi membabitkan 547 perwakilan pada pemilihan parti itu 15 Disember lepas.

Namun begitu, parti itu sebelum ini berulang kali mempertahankan bahawa pemilihan berkenaan telah diadakan secara bersih dan kesilapan yang berlaku adalah disebabkan masalah teknikal.

Semalam, Pengerusi DAP, Karpal Singh dalam satu kenyataan berkata, DAP akan mengadakan pemilihan semula CEC bagi mengelakkan pendaftaran mereka dibatalkan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment