My Add

Sunday 25 August 2013

TPM luangkan masa ziarah Azizan

ALOR SETAR, SABTU, 24 Ogos, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin meluangkan masa kira-kira 15 minit melawat bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak yang kini dirawat di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), di sini hari ini.

Azizan pada 14 Ogos lalu dimasukkan ke HSB bagi meneruskan rawatan selepas lebih tiga bulan dirawat di Hospital Pulau Pinang (HPP) akibat komplikasi diabetes yang menyebabkan kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong.

Yang turut mengiringi Timbalan Perdana Menteri ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Tun Mahathir dan isteri, Datin Norzieta Zakaria.

Menurut bekas Setiausaha Politik Azizan, Muhammad Sanusi Md. Nor, Azizan kelihatan gembira dan ceria menerima kehadiran Muhyiddin kira-kira pukul 3.15 petang.

Kedua-dua mereka juga dilihat berbual-bual dalam keadaan mesra.

Timbalan Perdana Menteri juga mendoakan agar Azizan cepat sembuh kerana perjuangannya masih panjang," katanya ketika ditemui.

Menurutnya, keluarga Azizan turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada Timbalan Perdana Menteri dan rombongan yang sudi melawat bekas Menteri Besar Kedah itu.

Muhammad Sanusi berkata, luka pada kaki Azizan telah pulih dan hanya perlu menjalani rawatan dialisis tiga kali seminggu di HSB.

Azizan, 69, yang juga bekas Pesuruhjaya Pas negeri dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas dikatakan mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan awal di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.

Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment