My Add

Monday 12 August 2013

TPPA: Menakluk atau ditakluk?

Oleh FADZIL ZAINOL

ISU Perjanjian Kerjasama Trans-Pasifik (TPPA) yang akan disertai oleh Malaysia kini semakin hangat dibincangkan memandangkan ia mendapat bantahan daripada sebahagian ahli perniagaan tempatan.

Pelbagai alasan diberikan, termasuk isu perbincangan itu yang diadakan secara tertutup dan penuh kerahsiaan yang menimbulkan kecurigaan ahli perniagaan tempatan.

Isu tersebut diperbesarkan mereka yang tidak bersedia menghadapi kerjasama perniagaan yang akan disertai 12 buah negara, termasuk Malaysia.

Menurut pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan dan antarabangsa, TPPA dikatakan akan lebih menguntungkan syarikat-syarikat multinasional (MNC) dan negara berekonomi kukuh seperti Amerika Syarikat (AS), berbanding syarikat kecil.

Sedar atau tidak, rundingannya telah memasuki pusingan ke-18 dan dijangka dimuktamadkan pada Oktober tahun ini. Perjanjian itu bakal membentuk satu jaringan perdagangan bebas terbesar di dunia, jika dimuktamadkan.

Akibat kurangnya pendedahan kerajaan mengenai TPPA kepada rakyat, kerana terikat dengan peraturan kerahsiaannya, membuatkan beberapa NGO dan usahawan tempatan bangkit menyuarakan perasaan kurang senang perjanjian itu.

Kerajaan yang diwakili oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membalasnya dengan menyatakan unsur-unsur kerahsiaan diperlukan memandangkan beberapa isu menyentuh kepentingan strategik negara.

Bagaimanapun, MITI secara kebetulan mendedahkan isi rundingan kepada umum hasil desakan tanpa henti pelbagai NGO, selain mula menjadi perhatian rakyat biasa.

MITI sendiri mengakui bahawa topik keterbukaan kontrak kerajaan kepada syarikat asing, kebenaran syarikat asing mengambil tindakan mahkamah ke atas kerajaan serta lanjutan perlindungan hak cipta ubat-ubatan, diperbincangkan dalam beberapa siri rundingan.

Bagaimanapun, jika dilihat secara positif, TPPA berpotensi mengurangkan larangan eksport Malaysia selama ini. Sebagai contoh, Proton boleh memasarkan keretanya ke Jepun yang selama ini agak sukar untuk dilakukannya.

Faktor lain yang mendorong Malaysia menyertai TPPA ialah perjanjian perdagangan bebas tanpa cukai kepada pasaran bersaiz 800 juta penduduk dengan keluaran dalam negara kasar (KDNK) terkumpul bernilai RM70 trilion.

MITI menjelaskan, sebelum menyertai rundingan itu pada 2010, kerajaan telah mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak berkepentingan.

Malah, menerusi beberapa kenyataannya sebelum ini, kementerian itu menjelaskan segala kepentingan awam akan diutamakan khususnya di dalam soal keterbukaan kontrak kerajaan, lanjutan hak cipta dan perlindungan ke atas perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Microelectronic Solution, Shafiq Akmal Ismail melihat TPPA sesuatu yang positif kepada usahawan bumiputera apabila perjanjian itu menawarkan pasaran seluas 800 juta dalam kalangan penduduk di negara-negara anggota TPPA.

"Sebagai contoh perniagaan kami mengeluarkan cip elektronik yang mempunyai potensi pasaran yang baik di luar negara.

"Selama ini, lebih 70 pengeluaran kami adalah untuk tujuan eksport. TPPA bakal membuka peluang kepada kami untuk memasuki pasaran asing dengan lebih mudah," kata beliau.

Apapun, penglibatan Malaysia di dalam TPPA dianggap sesuatu yang mencabar baik kepada kerajaan dan rakyat. Sukar hendak diramalkan sejauhmana topik yang diperbincangkan di dalam TPPA memenuhi hati semua negara terlibat.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed pernah menegaskan, jika Malaysia tidak berpuas hati terhadap topik yang diperbincangkan, kebarangkalian TPPA dimuktamadkan Oktober ini bakal tertangguh.

Ini kerana jika kerjasama ini lebih banyak memberi faedah kepada syarikat luar berbanding syarikat tempatan, mungkin ia perlu dikaji semula. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment