My Add

Wednesday 14 August 2013

Tuduh UMNO terlibat edar surat misteri taktik Anwar lepaskan diri

KUALA LUMPUR, SELASA, 13 Ogos, 2013: Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menuduh UMNO terlibat dalam pengedaran surat misteri tentang 'urus niaga' beliau bersama Pengerusi DAP, Karpal Singh sememangnya sudah dijangka.

Presiden Persatuan Sosial Harmoni Malaysia, Nordin Ahmad berkata, setiap kali timbul isu mahupun skandal berkaitan dirinya yang berjaya dibongkarkan, Anwar mengambil jalan mudah dengan menuduh pendedahan tersebut sebagai konspirasi UMNO dan Barisan Nasional (BN).

"Ini memang sudah dijangka sejak awal kerana Anwar akan bertindak sedemikian jika ingin melepaskan diri dan tidak menjawab persoalan setiap isu yang menimpanya.

"Namun Anwar tidak sedar, kemungkinan surat misteri itu datang daripada kalangan ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) sendiri yang tidak berpuas hati dengan kepimpinan parti itu ketika ini kerana mereka lebih tahu dan mengenali Ketua Pembangkang ini," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Baru-baru ini, bekas calon BN Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail mendedahkan menerima 6,000 surat misteri bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal yang menceritakan 'urus niaga' bernilai puluhan juta antara Anwar dengan Karpal.

Anwar kemudiannya membuat laporan polis terhadap Mazlan serta menuduh pengedaran surat misteri itu sebagai fitnah berterusan UMNO dan BN terhadap dirinya.

Sementara itu, Nordin yang merupakan bekas Setiausaha Biro Penerangan Pemuda PKR turut menggesa Anwar supaya mengisytiharkan harta dan aset yang dimiliki, sekali gus menjawab setiap persoalan berkaitan surat misteri itu.

"Daripada membuat tuduhan melulu terhadap UMNO, lebih baik Anwar membersihkan namanya dengan membuat pengisytiharan harta serta mengambil kesempatan memperjelaskan perkara sebenar," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Kebajikan Insan Mulia (PKIM), Aminah Abdullah berpendapat, Anwar tidak wajar menuduh bahawa penyebaran surat misteri itu merupakan fitnah UMNO.

"Jika perkara ini merupakan satu konspirasi UMNO, Anwar diminta menunjukkan bukti berhubung dakwaannya itu termasuk mana-mana individu atau cawangan daripada UMNO yang terlibat.

"UMNO merupakan parti yang besar, jadi Anwar tidak wajar menuduh tanpa bukti. Kemungkinan penyebaran surat misteri itu datang daripada kalangan ahli PKR sendiri kerana bukan semuanya menyukai kepimpinan parti itu ketika ini," katanya.

Aminah yang merupakan bekas Ketua Wanita PKR Pulau Pinang turut bersetuju supaya Anwar mengisytiharkan aset yang dimiliki, sekali gus menolak setiap dakwaan yang terkandung dalam surat misteri berkenaan. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment