My Add

Thursday 15 August 2013

Tunjuk semangat patriotik dengan kibar Jalur Gemilang

 
SUNGAI PETANI, RABU, 14 Ogos, 2013: Rakyat pelbagai kaum di negara ini dinasihatkan agar mengibarkan Jalur Gemilang termasuk di rumah sendiri sebagai tanda semangat patriotik terhadap negara dalam diri masing-masing.

Ketua Pengarah Jabatan Penerangan, Datuk Ibrahim Abdul Rahman berkata, tema Hari Kemerdekaan tahun ini ialah "Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpah Darahku" perlu dihayati sepenuhnya oleh segenap lapisan rakyat.

Kata beliau, pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk menjayakan Hari Kemerdekaan kali ini termasuk mengibarkan Jalur Gemilang di rumah masing-masing.

"Apabila masyarakat mempunyai kesedaran untuk mengibarkan Jalur Gemilang, mereka dengan sendirinya sudah ada semangat patriotik," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan upacara Pelepasan Konvoi Jalur Gemilang Peringkat Negeri Kedah di Pejabat Penerangan Daerah Kuala Muda di sini hari ini.

Sebanyak 15 buah kenderaan Jabatan Penerangan negeri digunakan dan kakitangan turut bergerak ke kampung-kampung untuk mengajak orang ramai sama-sama mengibarkan Jalur Gemilang itu.

Menurut Ibrahim, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga berperanan untuk menjayakan kempen mengibarkan Jalur Gemilang.

Beliau juga meminta penduduk di negeri ini, Perlis, Perak dan Pulau Pinang supaya datang menyaksikan pelbagai acara menarik sempena Majlis Pelancaran Kibar Jalur Gemilang Peringkat Kebangsaan yang berlangsung di Dataran Zero Sungai Petani, Jumaat ini.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pembasmian Kemiskinan dan Penerangan negeri, Datuk Mohd. Tajudin Abdullah pula berharap semua acara yang disusun berjalan dengan lancar. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment