My Add

Thursday 8 August 2013

Umat Islam diseru mendoakan kestabilan negara

Idris Haron 
MELAKA, RABU, 07 Ogos, 2013: Umat Islam di negeri ini diminta melahirkan rasa syukur kerana dapat hidup dalam sebuah negara yang berjaya.

Ketua Menteri, Datuk Idris Haron berkata, umat Islam perlu insaf dan bersyukur kerana tinggal di sebuah negara yang tidak mengamalkan kezaliman terhadap rakyatnya.

Beliau berkata, rakyat dapat melihat bagaimana kemelut politik melanda negara-negara di benua Asia, Afrika, Eropah serta Amerika Syarikat (AS) yang dianggap maju tetapi ditimpa krisis ekonomi yang kronik.

''Kita dapat menyaksikan bagaimana kegagalan itu telah memberi kesan yang buruk kepada kesejahteraan rakyat mereka apabila kadar pengangguran semakin meningkat. Malah peluang pekerjaan pula tidak mencukupi serta pertumbuhan ekonomi yang rendah menyebabkan taraf dan kualiti hidup rakyat di negara itu merudum.

''Marilah kita sama-sama mendoakan agar kestabilan negara akan berterusan di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang telah melakukan banyak transformasi untuk kebaikan rakyat," katanya dalam perutusan sempena Aidilfitri hari ini.

Dalam perutusan berkenaan Idris berkata, negara telah mencipta kejayaan demi kejayaan untuk mewujudkan masyarakat majmuk sejak merdeka dan kekal sehingga hari ini.

Beliau berkata, sesungguhnya umat Islam perlu bersyukur ke hadrat Allah kerana nikmat kemakmuran ekonomi dan kestabilan politik negara memberi peluang kepada seluruh rakyat hidup dalam keadaan selamat.

Justeru katanya, jadikan perbezaan politik sebagai titik persamaan ke arah keamanan, keselamatan dan kemakmuran bersama.

''Kita dirahmati dengan perpaduan nasional. Kita mempunyai tradisi meraikan pelbagai perayaan mengikut anutan agama masing-masing termasuk sambutan Aidilfitri,

''Di kesempatan ini saya serta isteri, Datin Fadilah Abdullah serta seluruh ahli keluarga ingin mengucapkan selamat menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam di negeri ini dan seluruh negara," ujarnya.

Katanya, kedatangan Syawal harus dijadikan sebagai medan untuk mengukuhkan ikatan institusi kekeluargaan agar menjadikan suasana rumah tangga sebagai 'rumahku syurgaku'.

Beliau menambah, benteng terbaik umat Islam hari ini ialah mengukuhkan perpaduan, kesetiaan, saling menghormati antara satu sama lain dengan menanamkan semangat cintakan negara serta keamanan yang menjadi tuntutan di dalam Islam. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment