My Add

Friday 16 August 2013

UMNO Kelantan akan menstruktur semula jentera perhubungan

KOTA BHARU, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: UMNO Kelantan akan menstruktur semula jentera perhubungan bagi memastikan parti itu terus segar, relevan dan mendapat sokongan padu rakyat negeri ini pada pilihan raya umum akan datang.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, antara tindakan yang diambil ialah mencari barisan pelapis untuk diketengahkan dalam kepimpinan parti di peringkat bahagian.

Selain itu katanya, UMNO juga akan mengenal pasti medium terbaik untuk mendekati pengundi khususnya pengundi luar yang pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) lalu menjadi penyumbang besar kepada kemenangan semula Pas di negeri ini.

Beliau berkata, dalam perkara ini, setiap UMNO bahagian telah diberi tanggungjawab untuk mengenal pasti tokoh-tokoh muda dalam kalangan profesional dan agama khususnya yang boleh diketengahkan dalam parti.

Pada masa sama katanya, UMNO negeri juga akan terus memperkasa peranan pemimpin-pemimpin veteran yang khidmat mereka tetap diperlukan untuk menjamin keutuhan parti pada masa depan.

"Kita nak barisan pelapis ini dibawa masuk ke bahagian-bahagian dalam usaha memberi imej baharu kepada UMNO Kelantan. Sekiranya UMNO dilihat letih dan lesu, ia tidak akan dapat menarik sokongan rakyat.

"Maka itu, kita mahu, dalam pemilihan bahagian-bahagian nanti ada barisan pelapis yang diberi tempat, tetapi mereka harus melalui 'kilang' UMNO agar dapat memahami agenda perjuangan parti," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Mustapa yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, usaha perlu dilakukan bagi mengubah imej UMNO Kelantan supaya ia lebih segar dalam perjuangannya membela agama, bangsa dan negara seiring dengan peredaran masa.

"UMNO Kelantan perlu bergerak ke atas untuk memberi imej baharu kepada parti dengan memberi ruang kepada barisan pelapis dan dalam konteks Kelantan, tokoh-tokoh agama adalah penting," katanya.

Dalam pada itu, Mustapa yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Lanas berkata, selaku pembangkang di Dewan Undangan Negeri, UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu berperanan secara konstruktif dalam memperjuangkan nasib rakyat yang gagal mendapat pembelaan daripada kerajaan Pas Kelantan.

"Mana yang tak betul kita akan beri teguran secara konstruktif. Kita akan meneliti setiap janji yang dibuat oleh kerajaan Pas Kelantan dan isu-isu rakyat yang gagal ditanganinya," katanya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment