My Add

Friday 16 August 2013

Pastikan isu 'surau jadi tokong' tidak berulang

JOHOR BAHRU, KHAMIS, 15 Ogos, 2013: Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) terus meluahkan rasa tidak puas hati berikutan isu surau di sebuah resort di Sedili Besar, Kota Tinggi yang dicemari dengan ritual agama lain dan mahu insiden seperti itu tidak berulang di masa hadapan.

Pengerusi Silat Abjad Malaysia Johor, Ibrahim Mohd. Salleh berkata, perkara tersebut tidak sepatutnya berlaku, apatah lagi pemilik resort berkenaan seorang yang beragama Islam yang mendapat taraf penduduk tetap di negara ini.

"Silat Abjad Malaysia Johor sangat kecewa dengan apa yang berlaku kerana di dalam Islam ada perbezaan antara agama samawi dan agama budaya. Sesetengah blogger turut menggunakan hujah zaman Rasulullah berlaku orang Nasrani dari Najran yang beribadat dalam Masjid Nabawi serta perbuatan seorang Badwi kencing di dalam masjid.

"Tetapi itu tidak boleh dijadikan perbandingan kerana di zaman itu Islam baru berkembang dan Rasulullah bukan membenarkan tetapi terpaksa membiarkan sebelum memberi penerangan. Sepatutnya mengambil contoh Saidina Umar Al-Khattab yang bersolat di luar gereja kerana beliau tidak mahu timbul kekeliruan di masa depan," katanya.

Ketua Penerangan Majlis Penyelaras Gabungan NGO Melayu Negeri Johor (Gabung), Abdullah Md. Yusof pula menggesa semua pihak agar tidak mencari fasal dengan mencabar Islam kerana ia berisiko menimbulkan suasana tidak harmoni di negara ini.

Justeru, beliau meminta Kementerian Dalam Negeri yang kini diterajui oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi agar tidak mengulangi 'siri' amaran dan bertindak tegas dengan menarik balik status penduduk tetap tersebut selain melakukan pemantauan rapi.

"Asal ada isu hina Islam sahaja kita selalu buat laporan polis tetapi tindakan akhirnya diam begitu sahaja. Tindakan yang lambat diambil akan membuatkan masyarakat tidak puas hati dan Gabung bimbang tahap kesabaran umat Islam mencapai kemuncaknya," katanya.

Menurutnya, Gabung menyokong akta baharu yang setanding atau lebih baik daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dan Ordinan Darurat (EO) yang telah dimansuhkan kerana setakat ini ketiadaan kedua-dua peruntukan undang-undang itu membuatkan ramai yang mengambil kesempatan.

Utusan Malaysia difahamkan, beberapa NGO akan menunaikan solat Jumaat di Masjid Al-Muttaqin, Sedili Besar sebelum berhimpun bersama penduduk sebagai tanda sokongan terhadap titah Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan tindakan yang diambil oleh Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) serta pihak berkuasa.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), Kenny Ngi berpendapat kontroversi ini bermula dengan sikap acuh tidak acuh oleh kumpulan penganut Buddha itu sendiri kerana tidak sensitif dengan kepelbagaian agama di negara ini selain tidak menguruskan program dengan baik. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment