My Add

Sunday 25 August 2013

UPM bantu keluarga dua pelajar maut nahas bas

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu keluarga dua pelajarnya yang terlibat dalam nahas bas di Genting Highlands yang meragut 37 nyawa baru-baru ini.

Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UPM, Prof. Dr. Mohamad Shatar Sabran berkata, sumbangan wang tunai khairat kematian dari Tabung Kebajikan Pelajar UPM berjumlah RM400 seorang telah diberikan kepada waris kedua-dua pelajar berkenaan.

"Selain itu UPM juga membantu kos menguruskan jenazah kedua-dua pelajar berjumlah RM 3,000.

"Kedua-dua bantuan ini telah diserahkan secara tunai kepada keluarga mangsa oleh wakil Bahagian Hal Ehwal Pelajar yang pergi menziarahi waris," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Mohamad Shatar, bantuan manfaat kematian dari insurans sebanyak RM8,000 seorang akan menyusul selepas ini.

"Seluruh warga UPM berdukacita terhadap tragedi ini terutamanya kerana ia melibatkan pelajar UPM. Saya berharap keluarga kedua-dua mangsa bersabar atas dugaan ini dan mereka boleh menghubungi pejabat saya bila-bila masa untuk sebarang keperluan berkaitan," katanya.

Kedua-dua pelajar malang yang merupakan penuntut Bacelor Sains Komputer itu, ialah Sia Chin Shin yang berasal dari Johol, Negeri Sembilan dan Kwan Chin Yii dari Segamat, Johor. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment