My Add

Sunday 25 August 2013

Wartawan disamun ketika siapkan berita

Oleh OTHMAN YAHAYA

BUKIT MERTAJAM, AHAD, 25 Ogos, 2013: Seorang wartawan wanita sebuah akhbar trauma selepas menjadi mangsa samun di sebuah stesen minyak di Jalan Tenggiri di sini semalam.

Mangsa, Siti Nur Mas Erah Amran, 29, yang bertugas di akhbar Sinar Harian daerah Seberang Perai Tengah kerugian RM50 dalam kejadian itu.

Bagaimanapun dia tidak mengalami kecederaan dalam kejadian pukul 4.50 petang itu.

Siti Nur Mas Erah berkata, ketika kejadian dia baru membeli makanan dan bersiap sedia untuk menyiapkan tugasannya di premis itu.

Menurutnya, dia selalu menggunakan ruang kios serbaneka di stesen yang menyediakan perkhidmatan WiFi percuma itu untuk menaip menyiapkan tugasannya.

"Saya baru membeli barang di kios serbaneka tersebut dan duduk di meja yang disediakan untuk menyiapkan tugasan yang perlu dihantar.

"Tiba-tiba seorang lelaki bertopi keledar datang dari bahagian rak roti di belakang saya dan terus mengambil dompet yang diletakkan di atas meja sebelum melarikan diri dengan motosikal," katanya di sini malam tadi. - UTUSAN ONLINE 

No comments:

Post a Comment