My Add

Monday 26 August 2013

Utusan masih relevan, menyatukan masyarakat

Mohd. Shafie, Shabery Cheek, Shahidan Kassim

KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Akhbar Utusan Malaysia yang sering menjadi sasaran untuk ditutup oleh pembangkang sekiranya mereka berkuasa, masih lagi relevan dan berperanan besar dalam membangunkan bangsa Melayu.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, orang Melayu masih memerlukan akhbar berkenaan bagi membangkitkan semangat dan kesedaran dalam kalangan rakyat.

Jelasnya, akhbar Utusan Malaysia bukan sahaja berperanan sebagai perantaraan antara rakyat dan kerajaan, malah alat penyatu masyarakat berbilang kaum di negara ini.

“Walaupun Utusan Malaysia dilihat sebagai sebuah akhbar yang agak lantang bersuara dalam pelbagai isu, tetapi itu ,merupakan perkara biasa.

“Rakyat perlu menerima dengan minda yang terbuka untuk melihat kebenaran di sebalik setiap konflik yang terjadi," katanya ketika ditemui oleh pemberita dalam Majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Utusan Malaysia di sini kelmarin.

Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, akhbar tersebut merupakan lidah atau penyambung antara masyarakat, khususnya orang Melayu.

“Utusan mempunyai sejarah yang begitu besar sejak sebelum merdeka sehingga kini, sudah tentu dalam konteks sekarang, akhbar itu yang boleh dibaca melalui pelbagai medium mudah alih lebih fleksibel serta memudahkan orang ramai mendapat berita terkini daripada sumber yang benar dan cepat," jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim, walaupun Utusan Malaysia melalui proses jatuh dan bangun, namun akhbar berkenaan tetap menjadi pilihan utama majoriti masyarakat di negara ini.

“Walaupun terdapat beberapa golongan lantang bersuara untuk memboikot Utusan, namun Utusan masih lagi relevan dan saya percaya kerajaan juga memberi sokongan kepada akhbar berkenaan kerana artikel-artikelnya terselit kebenaran," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment