My Add

Monday 26 August 2013

WMD gugat keamanan sejagat - Dr. Mahathir

Oleh KAMIL MASLIH

 *SAMSUDIN Hitam menyerahkan replika cek RM1 juta kepada Dr. Mahathir Mohamad pada Persidangan Antarabangsa PGPF di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, AHAD, 25 Ogos, 2013: Kewujudan senjata pemusnah besar-besaran (WMD) yang tidak lagi terhad dimiliki oleh negara-negara kuasa besar menjadi ancaman kepada usaha mencapai keamanan sejagat.

Presiden Yayasan Keamanan Global Perdana (PGPF), Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, keupayaan memiliki senjata kimia dan biologi yang boleh membunuh ribuan nyawa dalam sekelip mata tidak lagi tertumpu kepada negara kuasa besar tetapi juga negara kecil.

"Kita tengok bagaimana senjata kimia (didakwa) digunakan di Syria menyebabkan ribuan nyawa dibunuh, kapasiti untuk menggunakan senjata pemusnah bukan lagi terletak pada kuasa besar dunia," katanya dalam ucaptama perasmian Persidangan Usaha ke Arah Keamanan anjuran Yayasan Keamanan Sedunia Perdana (PGPF) di sini hari ini.

Yang turut hadir isteri bekas Perdana Menteri itu, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd. Ali; Pengerusi PGPF, Tan Sri Norian Mai, Ahli Lembaga Pemegang Amanah PGPF, Tan Sri Samsudin Hitam serta duta-duta dan diplomat asing.

Antara ahli-ahli akademik antarabangsa yang turut serta dalam forum berkenaan ialah Prof. Johan Galtung, Prof. Michel Chossudovsky, Prof. Gurdial Singh Nijar, di samping aktivis keamanan antarabangsa, Dr. Ang Swee Chai serta Mother Superior Agnes Mariam dari Syria.

Dalam majlis yang sama, Dr. Mahathir turut menyaksikan memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Kursi Keamanan Sejagat Tun Dr. Mahathir di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang ditandatangani antara Norian dengan Rektor UIAM, Prof. Datuk Dr. Zaleha Kamaruddin serta sumbangan RM1 juta daripada Kumpulan Maju Holdings kepada kursi berkenaan yang disempurnakan Samsudin.

Menurut Dr. Mahathir, biarpun dunia tidak menyaksikan perang skala besar sebagaimana Perang Dunia Pertama dan Kedua, namun peperangan tetap berlaku di negara-negara di setiap benua.

"Dunia telah melihat kesan WMD apabila bom atom digugurkan di Hiroshima dan Nagasaki tetapi perkara itu tidak menghalang pihak yang mahu mencari keuntungan mencipta senjata yang lebih menggerunkan.

"Peperangan tetap berlaku di banyak negara kerana senjata dijual oleh kuasa besar untuk memperoleh pulangan daripada pelaburan (membina WMD) mereka," katanya yang menempelak negara kuasa besar yang hanya mendabik dada pembangunan senjata sebagai kemajuan tamadun.

Sementara itu, dalam sidang akhbarnya, Dr. Mahathir memberitahu, kesedaran masyarakat untuk menjadikan perang sebagai jenayah semakin meningkat dan mendapat sokongan rakyat pelbagai negara.

Berhubung pandangan tentang Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), Dr. Mahathir berkata, beliau akan menjelaskan pendiriannya dalam satu persidangan berkenaan pada waktu terdekat ini.

"Saya akan terangkan kaitan TPPA dengan usaha hegemoni (negara kuasa besar) yang menjadi perkara utama kepada pihak yang mengemukakan cadangan.

"Kita juga sedar kaitan antara peperangan dan usaha untuk mengawal dagangan supaya pihak menjadi musuh atau dikenali sebagai musuh atau bakal musuh akan tersekat daripada mencapai kemajuan," katanya.

Sementara itu, Dr. Mahathir memberitahu, Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) akan lebih berhati-hati dalam memilih ahli-ahli yang akan mengambil bahagian dalam prosiding tribunal berkenaan.

Pada 23 Ogos lalu, tribunal KLCWT terhadap jenayah perang Israel ke atas rakyat Palestin terpaksa ditangguhkan tanpa tarikh ditetapkan selepas tujuh saksi pendakwaan tetap enggan memberi keterangan kerana meragui panel hakim, selain khuatir akan keselamatan mereka. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment