My Add

Thursday 8 August 2013

Wajar pertanding jawatan Naib Presiden - Zahid


ALOR GAJAH, RABU, 07 Ogos, 2013: Jawatan Naib Presiden UMNO memang wajar dipertandingkan bagi membuktikan sistem demokrasi dalam parti dapat diterjemahkan oleh ahli-ahli hingga ke peringkat akar umbi.


Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (gambar) yakin pertandingan merebut jawatan tersebut tidak akan menyebabkan ahli UMNO berpecah atau berpuak-puak.

Kata beliau, berlainan jika dua jawatan tertinggi parti iaitu Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan, maka akan berlaku perpecahan dalam UMNO di samping mewujudkan kelompok-kelompok yang boleh menjejaskan reputasi parti.

"UMNO sebuah parti yang cukup demokratik, tetapi jika berlaku pertandingan untuk dua jawatan tertinggi parti saya yakin UMNO akan berpecah. Tetapi untuk tiga jawatan Naib Presiden, secara peribadi saya melihat jika ada pertandingan tidak akan berlaku perpecahan.

"Selain jawatan Presiden dan Timbalan Presiden, bukalah pintu (pertandingan) seluas-luasnya supaya sistem demokrasi dalam UMNO diterjemahkan kepada seluruh ahli parti," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Durian Daun, Masjid Tanah di sini hari ini.

Selain Ahmad Zahid, dua lagi penyandang jawatan itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal telah menyatakan hasrat untuk mempertahankan jawatan masing-masing.

Ketiga-tiga penyandang itu dijangka dicabar beberapa pemimpin parti dan antara yang disebut-sebut ialah bekas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam.

Dua lagi tokoh iaitu Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Abdul Samad dan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman adalah antara yang berminat ingin bertanding tetapi masih belum menyatakan pendirian sebenar masing-masing.

Ditanya mengenai hasrat beberapa tokoh dalam parti yang ingin bertanding jawatan Naib Presiden UMNO, Ahmad Zahid berkata, adalah munasabah pertandingan diadakan melainkan bagi jawatan Presiden dan Timbalan Presiden.

"Saya bersikap terbuka jika ada pemimpin atau ahli yang ingin bertanding jawatan Naib Presiden. Kita bukan mahu mencabar sesiapa," katanya. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment