My Add

Monday 19 August 2013

Wanita maut ditikam

Oleh NURUL HUDA HASSAN

 *8SEORANG ahli keluarga melihat mangsa yang ditemui mati dalam keadaan terlentang dan berlumuran darah di sebuah pusat kecantikan di Johor Bahru, semalam.
JOHOR BAHRU, SABTU, 17 Ogos, 2013: Seorang wanita pemilik sebuah pusat kecantikan ditemui mati terlentang dalam keadaan berlumuran darah akibat ditikam dan dikelar di premisnya di Jalan Indah, Taman Bukit Indah di sini hari ini.

Dalam kejadian pukul 11.30 pagi itu, mangsa berusia 39 tahun ditikam sebanyak dua kali di bahagian perut.

Mangsa turut dikelar empat kali di leher serta masing-masing satu di belakang badan dan pergelangan tangan kanan.

Difahamkan, semasa kejadian mangsa bersama seorang pekerjanya sedang melakukan rawatan kecantikan kepada pelanggan sebelum premisnya didatangi seorang lelaki dan wanita yang berpura-pura menyamar sebagai pelanggan.

Selepas bertanyakan pelbagai soalan mengenai pakej ditawarkan di premis itu, tiba-tiba suspek lelaki dan pemilik kedai itu bertengkar sebelum keadaan menjadi senyap.

Pekerja yang sedang membuat rawatan kecantikan dalam bilik berhampiran yang curiga dengan keadaan itu keluar menjenguk apa berlaku dan terkejut melihat majikannya terbaring berlumuran darah lalu menghubungi polis dan hospital untuk mendapatkan bantuan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nusajaya, Deputi Supritendan Razak Md. Said berkata, hasil siasatan awal percaya motif kejadian adalah samun kerana dua telefon bimbit, sebuah komputer riba dan sejumlah wang didapati hilang selepas kejadian.

"Mangsa dipercayai ditikam menggunakan objek tajam dan polis menemui dua kesan tikaman serta enam kesan kelar di beberapa bahagian badan mangsa yang mati di tempat kejadian.

"Kita akan menjalankan siasatan secara menyeluruh dan sedang mengesan dua suspek berusia lingkungan 20-an yang disyaki terlibat dalam kejadian itu," katanya kepada Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Beliau berkata, pusat kecantikan itu tidak dilengkapi dengan kamera litar tertutup (CCTV) dan polis memerlukan maklumat orang ramai untuk membantu siasatan.

Katanya, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan sesiapa mempunyai maklumat boleh menghubungi talian 07-2212999 atau balai berhampiran - UTUSAN

No comments:

Post a Comment