My Add

Wednesday 21 August 2013

Wanita perlu rebut peluang, tajamkan kemahiran

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, golongan wanita perlu merebut segala peluang yang ada selain mempunyai pengetahuan dan mempertajamkan kemahiran untuk berjaya dalam pelbagai sektor termasuk membangunkan keluarga.

Menurut Timbalan Perdana Menteri, mereka juga seharusnya berani berdepan dengan cabaran dan risiko serta bersedia untuk bersaing.

Walau bagaimanapun tegasnya, dalam menentukan hala tuju diri dan membina kejayaan, wanita mesti merebut segala peluang khususnya inisiatif-inisiatif yang disediakan kerajaan.

''Pepatah Melayu ada menyebut, 'dayung sudah di tangan, perahu sudah di air', pelbagai peluang telah disediakan dan terserah kepada wanita untuk menggunakan peluang itu dalam memperoleh kejayaan.

''Kini masanya untuk mereka maju ke depan dan menerokai peluang-peluang baharu. Kerajaan komited untuk membangunkan wanita dalam segenap lapangan, tetapi jika mereka tidak merebut peluang itu, sudah pasti ia tidak memberi apa-apa makna,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena Sidang Kemuncak Wanita 2013 di Pusat Konvensyen Sime Darby, dekat sini hari ini.

Yang turut hadir isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman; Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Rohani Abdul Karim dan timbalannya, Datuk Azizah Mohd. Dun.

Terdahulu dalam persidangan yang bertemakan 'Forging Your Own Path' itu, Muhyiddin turut menyampaikan anugerah khas Life at Work kepada tiga syarikat iaitu Kumpulan CIMB, IBM dan Nestle (Malaysia) Bhd. sebagai mengiktiraf majikan yang komited dalam memastikan tempat kerja mesra wanita dan keluarga.

Muhyiddin berkata, dengan bilangan wanita mencecah 14.4 juta orang atau 48.6 peratus daripada keseluruhan penduduk Malaysia, golongan itu adalah aset negara yang amat penting dan kerajaan sememangnya mengiktiraf potensi serta sumbangan mereka dalam pembangunan negara.

Menyedari hakikat itu ujarnya, kerajaan memberi tumpuan yang khusus kepada bidang pendidikan untuk memperkasa golongan wanita dengan kemasukan golongan itu bagi ijazah pertama di institusi pengajian tinggi awam secara konsisten telah melebihi 62 peratus setiap tahun sejak 2009 hingga 2011.

''Terkini, sebanyak 28,280 calon atau 68.02 peratus daripada 41,573 calon yang akan mengikuti program ijazah pertama bagi sesi akademik 2013/2014 adalah wanita. Berikutan peningkatan tahap pendidikan wanita, kadar penyertaan mereka dalam pasaran pekerjaan meningkat kepada 49.5 peratus pada tahun lalu.

''Bagi wanita yang telah berumah tangga, jumlah penglibatan dalam sektor pekerjaan juga telah meningkat daripada 44.4 peratus pada 2006 kepada 50.2 peratus tahun lalu,'' katanya.

Beliau memberitahu, usaha berterusan memperkasakan wanita dalam pelbagai bidang diberi tumpuan khas menerusi Rancangan Malaysia Kesepuluh, antaranya meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan dan pembuat keputusan selain meningkatkan sistem sokongan untuk wanita yang memerlukan serta menghapuskan semua bentuk diskriminasi.

Kerajaan juga jelasnya, melaksanakan konsep bekerja dari rumah dengan menggalakkan wanita menceburi perniagaan secara dalam talian menerusi peruntukan RM50 juta untuk program Get Malaysian Business Online (GMBO).

''Sementara itu, berdasarkan maklumat Kementerian Kewangan, penglibatan wanita sebagai ahli lembaga pengarah dalam syarikat-syarikat Menteri Kewangan Diperbadankan (MKD) adalah 15.3 peratus pada April lepas berbanding 14 peratus pada tahun lalu.

''Setakat 31 Disember lalu, sembilan peratus daripada barisan lembaga pengarah dan 28 peratus daripada anggota pengurusan kanan di syarikat milik kerajaan (GLC) terbesar di bawah Program Transformasi GLC terdiri daripada wanita,'' tambahnya. - UTUSSAN 

No comments:

Post a Comment