My Add

Wednesday 21 August 2013

Humaniti Malaysia gesa pertubuhan antarabangsa bertindak

KUALA LUMPUR, SELASA, 20 Ogos, 2013: Masyarakat dunia khususnya negara-negara Islam dan pertubuhan antarabangsa didesak mengambil tindakan ke atas rejim tentera Mesir serta sekutunya ekoran jenayah kemanusiaan yang dilakukan di negara itu.

Pengerusi Gabungan NGO Humaniti Malaysia (Humaniti), Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz berkata, seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira kaum atau agama perlu bersatu untuk mengembalikan keamanan dan membanteras kezaliman di Mesir.

Menurut beliau, Humaniti menyokong tuntutan rakyat Mesir dan masyarakat antarabangsa supaya dikembalikan kedudukan Presiden yang telah dipilih secara sah melalui proses demokrasi.

"Humaniti mengutuk sekeras-kerasnya tindakan kejam dan tidak berperikemanusiaan ke atas rakyat Mesir dalam serangan besar-besaran rejim tentera serta sekutunya yang jelas telah melanggar hak asasi manusia.

"Kami melihat perkara ini sebagai satu bentuk jenayah yang kejam, zalim dan di luar batasan perikemanusiaan," katanya dalam sidang akhbar pelancaran Humaniti di Pejabat Pertubuhan Himpunan Lepasan Institusi Pendidikan Malaysia (Haluan), Bandar Baru Bangi dekat sini hari ini.

Yang turut hadir Presiden Haluan, Dr. Abdullah Sudin Ab. Rahman; Ketua Biro Dakwah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Hasri Harun dan wakil-wakil 10 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang bergabung di bawah Humaniti.

NGO-NGO berkenaan ialah Haluan, ABIM, Persatuan Ulama Malaysia (PUM), Persatuan Cina Muslim Malaysia (Macma), Persekutuan Seruan Islam Selangor dan Wilayah Persekutuan (Jam'iyah) serta Persatuan Pemborong dan Peruncit Islam Malaysia (Mawar).

Selain itu, turut menganggotai Humaniti ialah Yayasan Amal Malaysia, Pertubuhan Penyayang Islam Malaysia (Muslim Care), Life Line For Gaza Malaysia (LL4G), Persatuan Bekas Mahasiswa Islam Timur Tengah (PBMITT), Yayasan Ihtimam Malaysia dan Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (Papisma).

Wan Mohamad menambah, rejim tentera Mesir dan sekutunya mesti menghentikan tindakan kekerasan dalam menghadapi rakyat yang berhimpun untuk menyuarakan inspirasi secara aman.

"Pada masa sama, Humaniti juga mendesak kerajaan Malaysia berpendirian tegas mendukung prinsip-prinsip kemanusiaan sejagat dengan tidak menyokong rejim tentera Mesir dan sekutunya," ujarnya.

Beliau memberitahu, Humaniti akan menjalankan aktiviti kemanusiaan dalam aspek perubatan, pendidikan dan kebajikan kepada rakyat Mesir, khususnya anak yatim, wanita serta golongan kurang berkemampuan.

"Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyumbang dana melalui NGO-NGO yang menganggotai Humaniti," jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment