My Add

Saturday 29 September 2012

Rekod kejayaan bukan retorik
*NAJIB Tun Razak bersalaman dengan Naib Presiden Pas, Salahuddin Ayub
 di hadapan lobi Parlimen selepas beliau selesai membentangkan Bajet 2013
di Kuala Lumpur, semalam.
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat supaya menghakimi hasil kerja dan rekod kejayaan kerajaan Barisan Nasional (BN) selama ini yang terbukti bukan retorik.

Meski akur bahawa kerajaan BN tidak bebas daripada kesilapan, namun Perdana Menteri berkata, apa yang membezakan kerajaan BN dan pembangkang ialah sikap tawaduk untuk mengakui kesilapan.

Tegas beliau, sebaliknya pembangkang sentiasa mencipta alasan demi alasan dengan penuh gempita menyalahkan orang lain.

''Pucuk pangkalnya, pihak yang menawarkan alternatif ini juga perlu dinilai catatan rekod mereka. Kerana mereka bukannya tidak dikenali rakyat. Malah ada kalangan mereka pernah diamanahkan sebagai kepimpinan tertinggi yang mengurus khazanah negara. Tidak cukup dengan itu, hari ini di beberapa negeri, mereka juga mengepalai kerajaan.

''Kalau hari ini mereka menjanji itu ini, rakyat harus bertanya, apabila pemimpin berkenaan, ketika masih berjawatan dulu, kenapa tidak melaksanakan apa yang dikokokkan? Hakikatnya jika ketika berpeluang, tidak melaksanakan segala yang dijanji, apatah pula jaminan mereka akan melunaskannya apabila diberi kuasa sekarang?'' soal beliau.

Najib berkata demikian ketika membentangkan Bajet 2013 di Dewan Rakyat hari ini.

Menyentuh hal sama, Najib turut melontarkan persoalan berikut : ''Bukankah apabila berdepan krisis kewangan Asia, hampir ranap negara ini dibuatnya? Jika kini, di negeri-negeri yang ditadbir mereka (pembangkang), apa yang terkandung dalam manifesto mereka sendiri pun masih tinggal janji. Mana mungkin mereka boleh dipercayai dengan amanah dan kuasa?''

Hal itu, ujarnya, berbeza dengan kerajaan BN yang apabila berjanji ia akan ditepati.

Bahkan katanya, sebelum melaungkan janji, kerajaan BN bersikap bertanggungjawab dengan menentukan sama ada janji itu boleh ditunaikan atau sebaliknya.

''Bukannya mengambil sikap asal menang, segala-galanya sanggup dipertaruhkan. Sebaliknya bila menang, janji hilang entah kemana. Kata Plato : 'The measure of a man is what he does with power'. Justeru, hari ini kita dapati, untuk berkuasa, ada sesetengah pihak sanggup mengadu domba antara agama dan bangsa, sanggup menggadai segalanya serta prinsip sekalipun demi kerakusan kuasa.

''Kerajaan BN, dibimbing prinsip 'fastabiqul khairat' iaitu berlumba-lumba melakukan kebaikan. Sedangkan pegangan puak sana (pembangkang) tampaknya 'fastabiqul fasad' iaitu berlumba-lumba membuat onar kerosakan,'' katanya.

Beliau berkata, hakikatnya kerajaan BN adalah perintis kepada perpaduan kaum yang menjadi teras kestabilan nasional berbanding pihak lain yang ingin menjadi kerajaan merintis kekuatan melalui konflik serta kebencian.

Ujar Najib, kerajaan sedar wujudnya pihak yang menyeru supaya mereka diberi peluang untuk membentuk kerajaan.

Secara berlapang dada katanya, dalam sebuah negara yang demokratik, pihak tersebut juga mempunyai hak untuk menawar diri tetapi pada akhirnya rakyat akan menentukan siapa bakal mendapat mandat melalui peti undi.

''Kini masanya hampir tiba apabila rakyat akan membuat pilihan bagi menentukan masa depan mereka. Persoalan yang perlu ditanya semasa membuat keputusan ialah sama ada kehidupan mereka hari ini lebih baik berbanding semalam dan adakah hari esok menjanjikan harapan yang sarat dengan peluang serta potensi?

''Jika jawapannya ya, maka tanpa ragu-ragu berilah mandat kepada kerajaan yang ada untuk meneruskan dan menambah baik apa yang ada,'' katanya.

Beliau kemudiannya mengajak rakyat untuk bersama kerajaan dalam mengembangkan segala potensi yang ada bagi membina sebuah negara yang boleh dibanggakan.

''Sebuah negara yang mana yang susah dibantu, yang lemah dilindungi, yang berada membantu, yang kuat melindungi, yang muda dikasihi, yang tua dihargai, yang memerlukan dikhidmati dan yang berbakat digilap.

''Sesungguhnya kita mahukan Malaysia yang tersanjung di persada antarabangsa. Malaysia yang makmur dan aman. Malaysia yang menjadi cahaya dan oasis di tengah-tengah kegawatan global,'' jelasnya. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment