KUALA LUMPUR, SABTU, 29 September, 2012: Seramai 1,900 pegawai penguat kuasa dan 1,300 pegawai pemantau harga akan meninjau restoran di seluruh negara bagi mengelak kenaikan harga makanan dan minuman berikutan pengurangan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram seperti yang diumumkan dalam Belanjawan 2013.
Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, berikutan pengurangan subsidi itu, pihak pembekal makanan dan restoran sepatutnya mengurangkan kandungan gula di dalam proses penyediaan sajian mereka dan bukannya mengambil kesempatan menaikkan harga makanan.
"Langkah kerajaan mengurangkan subsidi gula sepatutnya dilihat dari segi kesihatan yang mana kerajaan ingin mengubah pengambilan gula berlebihan oleh rakyat di negara ini.
“Kerajaan bukan sengaja kurangkan subsidi, sebaliknya ia dilakukan berikutan statistik rakyat di negara ini yang kerap mempunyai penyakit disebabkan pengambilan gula berlebihan,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika membentangkan Belanjawan 2013 mengumumkan pengurangan subsidi gula sebanyak RM0.20 sen sekilogram berkuat kuasa hari ini.
Berdasarkan rekod, gula sebagai barangan kawalan mengalami kenaikan harga sebanyak empat kali sejak 1 Januari 2010 iaitu sebanyak RM0.20 sekilogram, RM0.25 sekilogram (18 Julai 2010), RM0.20 sekilogram (4 Disember 2010) dan kali terakhir pada 10 Mei 2011 (RM0.20 sekilogram) menjadikan harga runcit gula RM2.30 sekilogram sehingga kini. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment