My Add

Saturday 29 September 2012

Ketua Hakim Negara timbang tubuh jawatankuasa khas

KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria berkata, badan kehakiman kini menimbang untuk menubuhkan Jawatankuasa Pengguna Mahkamah dalam usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatannya.

Jawatankuasa khas itu terdiri daripada Jabatan Peguam Negara, Badan Peguam, komuniti perniagaan, profesional dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Jawatankuasa tersebut menurut Arifin, bertujuan membantu mahkamah memperbaiki dan membentuk semula fungsinya ke arah memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada semua pengguna dan masyarakat.

Menurut beliau, sudah semestinya jawatankuasa itu akan melibatkan Badan Peguam dalam semua projek kerana badan tersebut seperti rakan kongsi yang sama dalam pentadbiran keadilan.

"Perkara ini disahkan oleh Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak) dalam ucapan pembukaan pada hari pertama ketika merasmikan Persidangan Undang-Undang Antarabangsa Malaysia (IMLC) pada Rabu lalu.

"Sehubungan itu saya berharap Badan Peguam sentiasa menjalin kerjasama erat dan mengekalkan hubungan baik dengan badan kehakiman untuk kebaikan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penutupan IMLC 2012 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) hari ini.

Sementara itu, Presiden Majlis Peguam, Lim Chee Wee pada majlis yang sama mengumumkan, Persidangan Undang-Undang Antarabangsa seterusnya akan diadakan di Bali pada 18 hingga 21 November depan.

Menyentuh mengenai Bajet 2013 yang dibentangkan di Parlimen hari ini, beliau mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia kerana memberikan peruntukan sebanyak RM20 juta kepada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK).

Chee Wee berharap, lebih banyak lagi peguam dari Badan Peguam akan memberikan perkhidmatan guaman dalam YBGK kepada tertuduh.

Perdana Menteri sebelum ini mengumumkan YBGK menyediakan bantuan khidmat peguam kepada semua rakyat kecuali bagi kesalahan yang membawa hukuman mati.

Bantuan dan khidmat nasihat akan diberikan kepada warga negara yang memerlukan di peringkat tangkapan, tahanan dan permohonan ikat jamin. - UTUSAN

No comments:

Post a Comment