SEREMBAN, SABTU, 29 September, 2012: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memulakan lawatan ke Seremban hari ini dengan melakukan tinjauan mesra dan merasmikan projek pembinaan Pusat Penjaja Ampangan, di sini.
Ketibaan Perdana Menteri dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor pada jam 9.40 pagi itu disambut lebih 5,000 anggota masyarakat setempat yang mengambil peluang bersalam dengan pemimpin nombor satu negara berkenaan.
"Ado yang kato bukan sonang nak jumpo den, jadi hari ini dapek jumpo dan terima kasih.(Ada yang kata bukan senang nak jumpa saya, jadi hari ini dapat jumpa dan terima kasih)," katanya dalam loghat Negeri Sembilan ketika berucap ringkas selepas merasmikan bangunan itu, dan mendapat tepukan gemuruh hadirin.
Najib juga berkata, berdasarkan sambutan masyarakat di situ, beliau yakin penduduk di kawasan berkenaan bersedia untuk menyokong Barisan Nasional (BN).
Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan dan isteri Datin Seri Raja Salbiah Tengku Nujumudin serta anggota exco, ketua-ketua jabatan, pemimpin parti komponen BN dan pemimpin masyarakat setempat.
Mengambil contoh projek pembinaan pusat penjaja Ampangan itu, Perdana Menteri berkata, projek terbabit satu lagi bukti kerajaan yang menepati janji selaras dengan slogan 'Janji Ditepati'.
Beliau kemudian bersarapan di sebuah gerai di situ sebelum beredar ke Kompleks Belia dan Sukan Paroi untuk program 'Jelajah Janji Ditepati'.
Pembinaan Pusat Penjaja Ampangan berharga RM8.9 juta itu bermula 24 September lepas dan dijangka beroperasi 24 Mei 2014.
Bangunan setingkat dengan reka bentuk Istana Lama Seri Menanti di atas kawasan seluas satu hektar itu akan menempatkan 60 gerai dan dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk 120 ruang parkir. - BERNAMA
No comments:
Post a Comment