Bajet yang bertanggungjawab, seimbang - Mustapa
KUALA LUMPUR, JUMAAT, 28 September, 2012: Bajet yang dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperlihatkan usaha kerajaan yang mengutamakan rakyat, bajet fiskal yang bertanggungjawab dan seimbang.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Malaysia, Datuk Seri Mustapa Mohamed (gambar) berkata, ekonomi Malaysia dianggarkan terus berkembang antara 4.5 peratus dan 5.5 peratus pada tahun depan.
"Defisit fiskal dijangka dikurangkan kepada empat peratus daripada KDNK pada tahun 2013 daripada 4.5 peratus pada tahun 2012.
"KDNK nominal dijangka melebihi RM1 trilion buat kali pertama pada tahun 2013 dan pertumbuhan yang lebih tinggi ini akan didorong oleh pelaburan dan penggunaan swasta," katanya dalam kenyataan akhbar di sini hari ini.
Mustapha berkata, bajet 2013 mencerminkan komitmen kerajaan ke arah meningkatkan persekitaran pelaburan dan sokongan bagi syarikat-syarikat tempatan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bumiputera.
"Selain itu, dana Pelaburan Strategik Domestik adalah untuk mempercepatkan peralihan syarikat milik rakyat Malaysia dalam industri yang disasarkan kepada industri nilai tambah yang tinggi, teknologi tinggi, berintensif pengetahuan dan berasaskan inovasi," katanya. - UTUSAN
No comments:
Post a Comment