My Add

Saturday 29 September 2012

Dr Siti Hasmah teruja usaha perkenal batik sarong

NEW YORK, SABTU, 29 September, 2012: Tun Dr Siti Hasmah Mohamd Ali merasa sangat teruja dengan usaha anggota Perwakilan New York yang mengetengahkan penggunaan batik sarong secara lebih moden dan eksklusif.

Isteri kepada bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu melahirkan rasa keterujaannya semasa menyaksikan pertunjukkan fesyen oleh lapan anggota Perwakilan itu yang berlangsung di Dewan Pejabat Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di sini Khamis lalu. 

Pada pertunjukkan yang diilhamkan isteri kepada Wakil Tetap Malaysia ke PBB, Datin Sharifah Raguan Syed Ismail, anggota Perwakilan berkenaan memperagakan pemakaian batik sarong yang juga dikenali sebagai batik kampung secara lebih moden.

Dr Siti Hasmah dilihat sangat memberi tumpuan dan tertarik dengan batik sarong yang diberi sentuhan moden yang dijahit seperti kain labuh (skirt) oleh salah seorang anggota kumpulan itu semasa memperagakannya pada Majlis Perwakilan New York Bersama Tun Dr Siti Hasmah.

Yang turut hadir pada majlis gilang-gemilang itu ialah isteri kepada Menteri Luar, Datin Seri Rubiah Abdul Samad yang kebetulan berada di sini untuk mengikuti suami beliau Datuk Seri Anifah Aman menghadiri Mesyuarat Agung PBB.

Ia turut disertai isteri Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat, Datin Rohayazam Kamaruzaman bersama-sama lebih 20 anggota Perwakilan New York.

Semasa berucap, Dr Siti Hasmah turut mengimbau kembali sejarah bagaimana kumpulan Perwakilan Malaysia diwujudkan iaitu sejak tahun 70-an bagi menjaga kebajikan serta memberi penyediaan kepada isteri-isteri pegawai Malaysia yang dihantar bertugas di luar negara. 

"Tolong pastikan yang anda juga ialah Duta kepada negara anda dan saya mengucapkan tahniah kepada anda untuk apa yang anda telah lakukan (mengikut suami masing-masing) dan anda juga adalah model dan contoh untuk mengetuai dan menjadi pemimpin kepada kumpulan anda selain memastikan imej baik Malaysia," kata beliau.

Di majlis itu, Dr Siti Hasmah dan tetamu turut dihiburkan dengan persembahan tarian oleh empat lagi anggota Perwakilan New York dengan tarian Awallah Dongdang dan Joget Kelantan di samping menikmati hidangan yang disediakan antaranya seperti Laksa Johor, Roti Jala dan Kari Ayam, Pulut Kuning dan Rendang Daging serta Kuih Talam Keladi.

Terdahulu dalam ucapannya Sharifah Raguan berkata Dr Siti Hasmah banyak membantu dalam pembangunan wanita dan berjaya memberi kesan positif kepada negara.

"Kesabaran Tun Siti Hasmah dan usaha beliau untuk kemajuan Malaysia turut dirasai oleh wanita-wanita lain di seluruh dunia. Segala jasa dan pengorbanan Tun kepada Perwakilan Malaysia selama ini amatlah disanjungi dan hari ini merupakan satu penghormatan kepada Perwakilan New York kerana berpeluang bertemu mesra bersama Tun," katanya.

Beliau turut memaklumkan kepada Dr Siti Hasmah tentang usaha yang dilakukan anggota-anggota Perwakilan dalam menjayakan pelbagai aktiviti dalam mempromosikan Malaysia di luar negara.

Mengenai batik sarong yang ditonjolkan itu, Sharifah Raguan berkata, beliau cuba memberikan sesuatu kelainan kerana batik itu seakan-akan sudah dilupakan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment