My Add

Saturday 29 September 2012

Raja Nazrin hadir Majlis Anugerah Cemerlang SMK Sultan Yussuf

IPOH, SABTU, 29 September, 2012: Pemangku Raja Perak Raja Dr Nazrin Shah diiringi Raja Puan Besar, Tuanku Zara Salim hari ini berkenan menghadiri Majlis Anugerah Kecemerlangan 2012 Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yussuf, Batu Gajah, dekat sini.

Ketibaan baginda di dewan sekolah berkenaan disambut Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, Timbalan Pengarah Pelajaran Perak, Mohd Idris Ramli, Pengetua sekolah itu Saidin Osman, pelajar serta warga kakitangan sekolah.
Lagu kebangsaan dan lagu kebesaran negeri Perak dinyanyikan dengan diiringi muzik kumpulan pancaragam selain persembahan koir pelajar tingkatan enam sekolah itu.

Pada majlis itu, baginda berkenan menyampaikan Anugerah Pelajar Cemerlang 2010 dan 2011 kepada 138 penerima serta Anugerah Ikon Ko-Kurikulum kepada tiga penerima dan dua penerima Anugerah Ketua Umum.

Anugerah Diraja 2012 Pingat Emas Sultan Azlan Shah disampaikan kepada Zul Aifaa Zolkaply, 20.

Zul Aifaa layak menerima anugerah terbabit berdasarkan beberapa pencapaian yang diperolehi antaranya Johan Bahas Pra-Universiti Peringkat Daerah 2010, anugerah pelakon terbaik dan peserta harapan terbaik Kem Pencinta Filem Finas peringkat kebangsaan serta Tokoh Kepimpinan Hari Graduasi Pelajar Tingkatan Enam Atas 2011.

Ketika ditemui pemberita, Zul Aifaa yang berasal dari Kampung Tersusun dekat Batu Gajah berkongsi serba sedikit tip bagaimana beliau mampu mencapai kejayaan. 

Katanya, tindakan luar biasa dalam menimba ilmu merupakan cara beliau menjalani proses pembelajaran.

"Saya ingat ada seseorang berpesan pada saya, kita semua manusia biasa...cuma cara bertindak dengan berusaha bersungguh-sungguh ketika belajar adalah cara untuk mencapai kejayaan," kata Zul Aifaa.

Beliau mengakui bahawa kegagalan sebelum ini menjadi semangat untuknya berusaha dengan lebih gigih lagi.

"Saya bukan seorang yang rajin belajar dan buat latihan...dalam peperiksaan SPM saya hanya dapat 3A tapi bila ibu saya pesan teruskan belajar, jangan putus asa, saya guna amanat itu sehingga keputusan STPM saya perolehi pointer 3.17," kata anak bongsu daripada empat beradik. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment