My Add

Friday 23 August 2013

100,000 tan sampah dikutip sepanjang Ramadan

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD

KUALA LUMPUR, KHAMIS, 22 Ogos, 2013: Lebih 100,000 tan sampah sarap dihasilkan oleh warga kota sepanjang bulan Ramadan lalu hingga minggu pertama sambutan Hari Raya Aidilfitri.

Ketua Pegawai Eksekutif Alam Flora Sdn. Bhd., Mohd. Zain Hassan berkata, jumlah tersebut menunjukkan peningkatan sebanyak 15 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.

Menurutnya, kira-kira 20,000 tan daripadanya adalah sampah yang dikutip pada minggu pertama Aidilfitri, manakala selebihnya dikutip ketika Ramadan.

"Faktor yang menyumbang kepada peningkatan tersebut berpunca daripada aktiviti di bazar Ramadan serta peningkatan kutipan sisa-sisa pukal dan kebun di kawasan-kawasan perumahan sekitar ibu negara dan Putrajaya.

"Ini adalah trend bermusim kerana peningkatan berlaku ekoran pembelian bahan makanan yang mewakili 50 peratus daripada jumlah sampah yang dikutip.

"Malah, orang ramai juga gemar menukar perabot baharu di kediaman mereka dan membersih kawasan rumah masing-masing menjelang hari raya," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Bagaimanapun, ujar Mohd. Zain, situasi tersebut sudah dijangka oleh Alam Flora selaku operator sampah di ibu negara dan Putrajaya, dan pihaknya memberi jaminan akan terus menjalankan tanggungjawab tersebut tanpa mengira masa termasuk melakukan sebarang penambahan kerja.

"Pada hari raya pertama sahaja, sebanyak 160 pekerja am dan pemandu ditugaskan untuk melakukan kerja-kerja mengutip sampah dan pembersihan di Kuala Lumpur," katanya.

Katanya lagi, kerjasama orang ramai juga amat ditagih dengan berganding bahu bersama Alam Flora bagi memelihara kawasan sekitar agar tidak kotor dan mencemarkan pemandangan.

"Sisa buangan perlu dikumpul dan diikat dengan kemas di dalam beg plastik yang sesuai serta dibuang di tempat yang sepatutnya kerana persekitaran yang bersih dapat mengelak jangkitan penyakit merbahaya seperti Leptospirosis dan demam denggi," tegasnya.

Kata Mohd. Zain, orang ramai yang ingin berkongsi maklumat termasuk menyalurkan aduan boleh menghubungi Pusat Khidmat Pelanggan Alam Flora 1-800-88-7472 yang beroperasi setiap hari dari pukul 8 pagi hingga 8 malam.

Perkongsian maklumat menerusi aplikasi AlamFlora4u yang boleh dimuat turun melalui Google Play juga akan lebih memudahkan syarikat itu melakukan tindakan susulan dengan berkesan. - UTUSAN 

No comments:

Post a Comment